Diddy, Shira yakin sentuhan Hazwani
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin
![]() BINCANG: Shira, Hazwani dan Diddy meneliti rekaan sesuai untuk mereka pada malam ABPBH. |
Pereka bijak bangkitkan pesona batik sesuai dengan majlis berprestij
PADA saat akhir menjelangnya Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH 2007), masih ada lagi artis yang sibuk membuat temu janji dengan pereka masing-masing.
Jadual penggambaran Alamak Amy yang ketat umpamanya, menyebabkan Sharifah Shahira terpaksa menyusun jadual untuk bertemu dengan perekanya. Begitu juga dengan pendatang baru Diddy yang tercalon dalam kategori Artis Baru Lelaki Popular, kesibukan mengikuti siri jelajah promosi ABPBH 2007 di semua lokasi juga membuatkan Diddy terpaksa membuat temu janji untuk bertemu dengan Hazwani Osman.
Menurut pereka muda berusia 26 tahun itu, dia menggunakan motif batik dan warna yang sama iaitu merah jambu serta ungu untuk tuksedo dan gaun dipakai Ijoy dan Shira bagi menonjolkan imej sedondon. Motif batik juga dapat dilihat pada rompi, sapu tangan serta bow yang dipakai Ijoy.
Sementara untuk gaun Shira pula, Hazwani menggunakan material daripada jenis sifon berpotongan empire. Manakala pada bahagian leher gaun pula, Hazwani menampilkan potongan boatneck iaitu potongan pada leher yang lebih luas supaya aksesori yang digayakan akan lebih kelihatan.
“Shira agak risau dengan bentuk badannya. Oleh itu, saya memilih potongan empire. Saya juga akan menggunakan perincian dan renda Perancis untuk menyerlahkan lagi gaun yang akan dipakainya nanti.
“Manakala untuk Diddy pula, masih lagi sut tetapi untuk membezakan antara dia dan Ijoy, saya menggunakan teknik sulaman mesin bagi menghasilkan motif batik buat Diddy. Motif itu dapat dilihat pada rompi dan juga tali lehernya, secara keseluruhan penampilan mereka mungkin nampak sama tetapi perbezaannya dapat dilihat pada motif batiknya.
“Selain itu saya juga menggunakan banyak perincian daripada warna perak pada sut Diddy untuk lebih menyerlahkan keseluruhan rupa sut itu,” kata graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Fesyen.
Hazwani sebelum ini pernah menghasilkan busana untuk Mawi pada ABPBH tahun lalu. Selain itu, dia juga pernah mereka pakaian untuk Mila, Fazli Zainal, Nurul dan ramai lagi. Pereka yang pernah menjadi finalis Jusco Young Designer pada 2003 dan Trofi Pesona Pengantin 2006 berpendapat peluang yang diberikan Berita Harian kepada pereka muda sepertinya adalah satu usaha yang baik.
Meskipun sesetengah pihak tidak berapa setuju dengan tema Batik Glam yang diketengahkan, Hazwani pula berpendapat ia satu peluang yang baik untuk pereka muda sepertinya meneroka sesuatu yang baru.
“Bagi saya idea tema batik ini amat baik kerana pereka muda seperti kami berpeluang untuk mencuba sesuatu yang baru. Mungkin sebelum ini corak batik tidak begitu mendapat tempat di kalangan pereka muda seperti kami.
“Tetapi dengan tema ini, kami mula mengambil tahu mengenai batik serta proses menghasilkannya. Saya tidak menghadapi masalah dengan tema ini, yang penting kita harus tahu cara untuk mengaplikasi. Batik juga sebenarnya boleh menghasilkan sesuatu yang elegen, bergantung kepada cara kita bermain dengan motifnya,” kata Hazwani.
This entry was posted on Friday, March 28th, 2008 at 3:24 pm and is filed under Artis. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.



