Siti Nurhaliza jelas isu seluar ketat, kalah AJL22
Oleh Zubir Mohd Yunus
zubirintip@bharian.com.my

Penyanyi nombor satu tak anggap gagal menang sebarang trofi sebagai zaman kejatuhan
PERTAMA kali Zubir ucapkan tahniah kepada warga kerja TV3 atas kejayaan menganjurkan Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-22 dengan tema Muzik Magik Bermula dengan penuh gemilang di Bukit Jalil, malam Ahad lalu. Reka bentuk pentas, teknologi LCD, penataan cahaya, penataan bunyi, muzik orkestra pimpinan Ramli MS, segala-galanya cun, hebat! Syabas juga kepada semua komposer dan artis yang diiktiraf sebagai pemenang.
Cuma, apabila Zubir dan beberapa teman artis melepak di Post Party selepas majlis berakhir, Zubir terdengar desas-desus, mana Datuk Siti, dah balik ke dia? Macam mana dia boleh kalah malam ni? Ada juga suara sumbang berbisik ke telinga Zubir, kalau tak silap perkiraan inilah satu-satunya AJL yang disertai Siti, dia pulang tangan kosong, tak menang apa-apa hadiah pun.
Dalam sejarah penganjuran AJL yang disertai Siti sebelum ini, sekurang-kurangnya dia bawa pulang satu trofi. Jadi, ini adalah petanda zaman kegemilangan dan penguasaan Siti dalam arena seni suara, khasnya AJL sudah berakhir. Zubir berusaha menjejaki Siti untuk mendapatkan komennya. Alhamdulillah, petang Rabu lalu, Siti menghubungi Zubir.
“Malam itu Siti menyanyi, membuat persembahan adalah untuk industri. Siti tetap memberikan komitmen. Inilah dinamakan tak ada rezeki untuk Siti menang AJL kali ini. Siti sentiasa menerima kritikan orang ramai. Biasalah, Siti kalah ke, menang, pasti orang akan bercakap. Jika orang kata ini adalah zaman kesuraman Siti, Siti terima sajalah. Pentingnya, setiap kali muncul di pentas, Siti akan tetap menjaga mutu persembahan,” kata Siti.
Selain itu, ada juga beberapa pihak yang meminta Zubir memberitahu Siti sebenarnya dia tidak layak lagi menyertai pertandingan lagu seperti AJL TV3 kerana status dirinya kini sudah layak bergelar lagenda atau diva, sekiranya dia kalah dalam pertandingan itu, pasti akan meninggalkan calar pada namanya yang gah itu. Zubir terus saja memaklumkan Siti perkara ini.
“Sebenarnya apa yang orang cakap itu tidak melemahkan semangat Siti. Siti terima seadanya. Adat bertanding, mesti ada menang dan kalah. Jika Jaclyn Victor tidak menang kategori Vokal Terbaik pada malam itu, bagi Siti suaranya masih hebat, bagus. Bukan selama-lamanya Siti akan menyertai AJL, suatu hari nanti Siti akan duduk di kerusi penonton.
“Selagi ada permintaan, orang masih minat, selagi ada kudrat bersama semangat seni yang tinggi, Siti akan terus menyanyi. Biarlah apa orang nak cakap sekali pun, sebenarnya bagi Siti, tidak menjadi nanah pun. Kehadiran Siti dalam dunia seni untuk memeriahkan lagi industri hiburan,” jelas Siti tenang.
Sementara itu, dalam beberapa laman blog hiburan, ramai juga mengkritik Siti selepas mendakwanya mengenakan seluar ketat pada malam itu dan ini sama sekali bertentangan imejnya yang baru pulang dari mengerjakan fardu haji dan bergelar hajah.
“Ketat? Kenalah tengok dekat-dekat. Seluar Siti pada malam itu berpotongan ‘joker’, kembang di peha sampai lutut. Tapi, selepas Siti mengenakan but tinggi, itu yang nampak seluar itu ketat, walhal tak ketat langsung. Biasalah, orang tetap akan menjaja, seluar Siti ketat, nampak seksi. Siti masih memelihara batasan. Yang penting Siti gembira dan tahu apa yang Siti lakukan,” katanya.
Dengan penjelasan Siti tadi, Zubir serahkan pada penilaian dan persepsi peminat, biarlah mereka yang menjadi juri. Sememangnya dari zaman anak dara sehinggalah Siti kini bergelar isteri VIP, dia tetap tabah dengan cakap-cakap orang sekeliling. Itulah resipi kejayaan Siti masih bertahan sampai hari ini.
This entry was posted on Friday, March 28th, 2008 at 3:29 pm and is filed under Artis. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.


