Kuasa rock Peterpan!

oleh WAHIDA ASRANI


Peterpan masih belum hilang ‘taringnya’ (Foto The Star oleh Ehfan Shah)

BAND ini pernah melakar sejarah tersendiri apabila album kedua mereka Bintang Di Surga mencatat penjualan kira-kira 3 juta unit tiga tahun lalu. Bukan saja diterima ramai di persada muzik Indonesia, Peterpan juga turut menjadi kegilaan ramai anak muda di Malaysia.

Tidak hairanlah Peterpan berjaya menarik kira-kira 30,000 penonton ketika menjayakan konsert di Kuala Lumpur sempena sambutan Tahun Baru dua tahun lalu.

Namun begitu, sejak band ini tinggal berempat iaitu Ariel, Uki, Reza dan Loekman setelah dua anggotanya, Andhika dan Indra mengambil keputusan untuk mengundur diri, ramai yang berpendapat Peterpan seolah-olah sudah ‘hilang arah’.
Menguatkan lagi tanggapan tersebut ialah apabila album studio ketiga mereka, Hari Yang Cerah yang telah berada di pasaran sejak tahun lalu dikatakan kurang memberangsangkan di mana penjualan unitnya di Indonesia hanya mampu mencecah kira-kira 350,000.


Peterpan masih belum hilang ‘taringnya’ (Foto The Star oleh Ehfan Shah)

Apatah lagi ketiadaan ‘orang kuat’ Peterpan iaitu Andhika yang sering memainkan peranan penting dalam menentukan susunan muzik di dalam album mereka membuatkan ramai yang merasakan band ini semakin hilang ‘bisa’.

Biar apapun tanggapan yang dilabelkan buat band yang kini cukup popular dengan lagu Menghapus Jejakmu ini, empat jejaka ini tetap utuh memperjuangkan muzik mereka.

Buktinya, tatkala dikatakan tidak segah dulu lagi, Peterpan berjaya membuktikan mereka masih mempunyai pengikut tersendiri menerusi siri Konsert Jelajah Malaysia 2008 yang telah berlangsung di empat buah lokasi di negara ini iaitu Dewan Sukan Tertutup, Kompleks Sukan Tawau, Sabah pada 19 April lalu, Stadium Perpaduan Kuching, Sarawak (20 April), Stadium Tertutup Johor Bahru (26 April) dan akan berakhir di Stadium Negara Kuala Lumpur pada Ahad lepas.

Sambutan yang diberikan buat band dari Bandung, Indonesia ini di lokasi-lokasi konsert anjuran Celcom itu cukup memberangsangkan.

Meskipun hanya sebagai ‘opening act’, Hujan tetap mempamerkan persembahan yang cukup bertenaga!

Begitu juga dengan konsert penutup siri road tour itu di Kuala Lumpur Ahad lepas yang menyaksikan lebih 4,000 peminat memenuhi Stadium Negara.Konsert yang bermula kira-kira jam 9 malam itu membuka tirainya dengan persembahan pembukaan oleh band tempatan, Nitrus yang menyampaikan tiga buah lagu.

Pentas kemudiannya diambiloleh oleh band underground yang cukup popular ketika ini, Hujan, yang menghiburkan penonton dengan empat buah lagu.

Persembahan yang cukup bertenaga daripada lima anak muda ini memang patut dipuji.

Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan Hujan berjaya membuatkan penonton ‘lupa’ sejenak bahawa konsert pada malam itu sebenarnya ‘hak’ Peterpan!

Kemunculan Peterpan di pentas ternyata menerima sorokan penonton yang telah berjaya menggamatkan suasana. Ariel selaku vokalis band tersebut sememangnya mempamerkan energy yang cukup mengagumkan!

Dalam jangka masa 90 minit, mereka membawakan kira-kira 17 buah lagu yang dipetik daripada album terbaru, Hari Yang Cerah dan juga album-album mereka terdahulu.

Antara lagu-lagu dendangan mereka pada malam itu adalah seperti Mungkin Nanti, Mimpi Yang Sempurna, Hari Yang Cerah Untuk Jiwa Yang Sepi, Ada Apa Denganmu, Menghapus Jejakmu, Tak Bisakah dan Melawan Dunia.

Ariel bijak mengajak penonton untuk turut menyanyi bersama. Mungkin kerana lagu-lagu yang dipersembahkan oleh band ini sudah cukup familiar buat peminat-peminat mereka itu.

Selama sejam setengah dihiburkan dengan persembahan mereka, memang jelas terbukti Peterpan masih mempunyai aura tersendiri.


Vokal Ariel sentiasa konsisten sepanjang sejam setengah konsert berlangsung

Aksi energetic seluruh ahli band tersebut ditambah pula dengan vokal Ariel yang sentiasa konsisten sepanjang konsert memang merupakan ‘kekuatan’ buat Peterpan. Mereka melabuhkan tirai siri konsert tersebut kira-kira jam 11 malam dengan menyampaikan lagu Topeng.

Bagi penulis yang sebelum ini kurang memberi perhatian terhadap band-band Indonesia, secara peribadi penulis merasakan Peterpan ada keistimewaan tersendiri.

Selain muzik rock yang dibawakan mereka tidak begitu ‘membingitkan’, vokal Ariel juga menjadi salah satu faktor yang membuatkan penulis tertarik dengan band ini!

This entry was posted on Wednesday, April 30th, 2008 at 1:55 pm and is filed under Artis, Hiburan, Muzik. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.

Leave a Reply

*
To prove you're a person (not a spam script), type the security word shown in the picture.
Anti-Spam Image