Tiada maksud tersembunyi sebalik “Patung Kertas”?
Oleh SITI AZIRA ABD AZIZ

PERTAMA kali menonton teater yang mengisahkan tentang golongan ‘mak nyah’, Teater Muzikal Patung Kertas yang dipentaskan bermula 25 April lalu amat mengujakan penulis untuk mengetahui apakah yang ingin disampaikan.Bermula dari latar set, mekap, kostum, pergerakan serta dialog pelakon dan sebagainya yang menyentuh tentang sesuatu yang berada dalam satu babak atau mis-en-scene.
![]() |
|
Lakonan Datuk Jalaluddin Hassan dan Ashraff Muslim yang dinanti-nantikan oleh penonton |
Setelah menonton teater karya penulis skrip terkenal A. Wahid Nasir dan arahan pengarah tersohor Lokman Ghani ini, penulis dapat menyelami sedikit sebanyak dunia ‘mak nyah’ yang selama ini dihina, dikeji dan tidak kurang juga dipuja. Namun, mereka juga manusia.Apa yang menarik untuk penulis bercerita tentang teater terbitan Karya Prima Production Sdn. Bhd. ini adalah dialog dan bahasa tubuh setiap pelakon ‘mak nyah’ yang di datangkan khas dari Ika Fancy Group termasuk barisan pelakon utama iaitu Datuk Jalaluddin Hassan, Zuhairi Ibrahim, Ashraff Muslim, dan Mohd. Fariz Zaidi (Along Fariz).
Setiap dialog yang dilontarkan oleh mereka pasti mengundang hilai tawa kepada penonton kerana setiap perbuatan dan gaya bahasa yang ditunjukkan sememangnya menjadi kebiasaan ‘mak nyah’ secara realitinya seperti perkataan “cantik ke?”, “vogue”, “meletup”, “makan hati”, “mak ayam”, “mak”, “nyah”, “bapuk”, “pondan” dan sebagainya yang sesetengahnya hanya difahami oleh golongan minoriti itu.
Ada juga ‘subteks’ atau maksud yang terselindung di sebalik teks dialog yang diucapkan seperti “air buah” yang diminta oleh Adik Chu (Ashraff Muslim) ketika di warung Abang Yus (Ebby Yus).
Penonton yang ‘nakal’ mungkin memikirkan sebaliknya namun jika difikirkan sebetulnya, dia memaksudkan air buah-buahan yang dibetulkan oleh Adik Wan (Along Fariz) setelah Abang Yus mengatakan “Air tu tak dijual di sini.”.
![]() |
![]() |
Bukan sahaja Datuk Jalal, malah Ebby Yus turut serta memakai pakaian wanita ketika melakukan persembahan amalBagi penulis, mungkin perkataan tersebut sengaja ditekankan bagi membuatkan orang ketawa dan menggamatkan suasana dewan auditorium tersebut walaupun boleh menimbulkan rasa mual dengan unsur ‘lucah’ itu jika tidak dikawal secara bijak.
Begitu juga dengan dialog yang secara telus oleh Abang Long atau Hairol (Datuk Jalaluddin Hassan) dan kekasih lamanya iaitu Suhana (Siti Aishah Atan) yang memberi maksud samada ‘anu’ Hairol masih berfungsi lagi atau tidak setelah sekian lama bergelumang dalam kehidupan ‘mak nyah’.
Ketika menjalani kehidupannya sebagai ‘mak nyah’ sebelum ini, Hairol menggunakan nama Kak Kay di Kuala Lumpur. Berbalik kepada kisah hidupnya di kampung, beliau pernah menyintai Suhana namun cinta tersebut terhenti setelah Hairol berhijrah ke bandar manakala Suhana bernikah dengan lelaki lain atas kehendak keluarganya.

Aksi Hairol ketika bertemu dengan Suhana
Akhirnya, cinta mereka bersatu kembali tatkala Hairol melakukan persembahan amal untuk dana mengubati penyakit jantung berlubang anak Suhana iaitu Adik Syafiq dengan bantuan rakan-rakan ‘mak nyah’nya yang lain.
Jika diteliti secara keseluruhan teater muzikal yang dipentaskan oleh kira-kira 30 orang pelakon dan penari ini, plot cerita dibahagikan kepada tiga cerita yang berkait iaitu cerita tentang Adik Chu, Abang Long atau Hairol dan sedikit cerita bekas penglipur lara mak yung dari golongan ‘mak nyah’ iaitu Che Muda Bunga Kenanga yang dilakonkan oleh Rosnan Rahman.
Di antara tiga perkongsian cerita ini, diselit kisah hidup ‘mak nyah’ yang menjalankan bisnes ‘pelacuran’ mereka di lorong-lorong iaitu kawasan sekitar Lorong Haji Taib 5 seperti yang dipaparkan melalui papan tanda jalan dalam babak tersebut. Latar warung pula digunakan bagi menghidupkan jalan cerita teater ini.

Lakonan mantap oleh Rosnan Rahman sebagai Che Muda Bunga Kenanga
‘Props’ lain seperti kerusi, skrin layar putih, kesan bunyi, muzik, teknik pencahayaan juga mampu menaikkan mood cerita agar tidak bosan dan sedikit-sebanyak menolong penonton memahami jalan ceritanya.
Penulis fikir jika cerita tentang Che Muda Bunga Kenanga tidak dimasukkan dalam teater ini pun tidak mengapa kerana ia seolah-olah mengganggu pengembangan cerita Adik Chu dan Abang Long yang difikirkan lebih penting untuk diceritakan dalam durasi masa selama satu jam 45 minit itu.
Ini adalah kerana pengakhiran cerita ini seolah-olah memfokuskan kisah Abang Long sahaja dengan mengabaikan kisah hidup Adik Chu dan Adik Wan. Penulis tertanya-tanya, jika Abang Long kembali menjadi ‘lelaki normal’ yang memilih Suhana sebagai suri hidupnya, apakah yang berlaku seterusnya kepada Adik Chu dan Adik Wan? Adakah mereka masih menjadi ‘mak nyah’? Di sinilah kelemahan skrip cerita ini yang tidak dikembangkan.

Babak ‘flash-back’ Adik Chu ketika mengimbau kisah hidupnya sewaktu kecil digelar ‘pondan’ oleh rakan-rakannya
Penulis skrip A. Wahid Nasir menyatakan sebabnya.
“Sebenarnya, sukar juga untuk dikembangkan plot cerita ini disebabkan masalah teknikal dan masa. Jika diikutkan, pendukung utama dalam teater ini adalah Hairol atau Abang Long manakala Adik Chu hanyalah watak kedua utama. Jadi, sebab itu saya tamatkan cerita dengan kisah Abang Long.
“Cerita Adik Chu ditamatkan setelah hajat beliau untuk bertemu dengan Abang Long di Kuala Lumpur termakbul. Turut diceritakan, cita-cita Adik Chu yang datang ke Kuala Lumpur untuk belajar mekap, menjahit dan sebagainya juga tercapai.
“Lagipun skrip ini sudah dirombak banyak kali oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk sesuaikan dengan keperluannya serta set dan pentas di situ.

Lakonan mantap juga oleh ‘mak nyah’ dari Ika Fancy Group
“Tentang dialog pula, saya rasakan biasa sahaja dan mungkin semua orang boleh terima dan fahaminya kerana ia turut menyentuh tentang isu lelaki lembut. Tak banyak yang tersirat, tiada maksud yang tersembunyi atau ‘double meaning’.
“Menyentuh tentang mak yung yang dipaparkan dalam teater ini, dalam mak yung juga ada watak ‘lelaki lembut’. Che Muda Bunga Kenanga adalah lelaki yang terlibat dalam dunia mak yung. Jadi, apa yang dilakukan olehnya tidak dipandang oleh masyarakat hingga menyebabkan beliau akhirnya kecewa.
“Jadi, babak itu memberi pengajaran kepada golongan ‘lembut’ supaya memikirkan kesannya yang berkait dengan fitrah sebenar mereka di luar sana. Sesiapa yang ada anak, jangan bagi anak pakai pakaian perempuan dari kecil. Jika tidak berhati-hati sehingga tua nanti, orang lain boleh cakap dia gila setelah jadi macam Che Muda Bunga Kenanga itu,” terang Wahid.

Ashraff Muslim ditengah-tengah kelihatan cantik didandan oleh Ika Fancy Group
Di sebalik teater ini, terkandung pelbagai pengajaran berguna yang antaranya mengajar setiap insan untuk mengeratkan hubungan sesama ‘rakan perniagaan’ atau ikatan kekeluargaan dan usah didik anak lelaki memakai pakaian perempuan dari kecil supaya mereka tidak terikut-ikut menjadi wanita kelak.
Di samping itu, teater ini turut memaparkan kebaikan yang dilakukan oleh golongan ‘mak nyah’ bilamana mereka melakukan persembahan amal untuk Adik Syafiq.
Kiranya, teater ini bersifat neutral di mana ia tidak terlalu mendedahkan keburukan yang dilakukan oleh mereka.
Semuanya terserah kepada penonton untuk memahami cerita yang disampaikan dari sudut mana.
Bercakap tentang mekap dan kostum yang digayakan oleh pelakon pula, memang ‘superb’ setelah mendapat sentuhan dari Ika Fancy Group.
Turut menjayakan teater ini adalah Syed Wafa yang melakonkan watak Donny, Hanif Abdul Ghani sebagai Mak Mizie, pelakon kanak-kanak iaitu Shamsul Izzat Haziq Rahizad, Raja Nur Aizureen Raja Azhari, Siti Amiera Zulaiqha Hasmuri, Wan Faiqah’ Ainaa’ Ahmad Azham, Muhammad Nabil D’zulkefli, Mohd Fareez Mohd dan Anas Shafiq Othman.
Selain itu, teater ini juga dibantu oleh Tandak Dance Theater yang diketuai oleh Syed Mustapha Syed Yasin, gubahan muzik oleh Shamsul Zin dan Mohd Hanafi Abd Wahab selaku pereka set. Sementara penyanyi terkenal Noryn Aziz dilantik sebagai penaung teater muzikal ini.
Sudah terlanjur berbual dengan penulis skrip yang lebih mesra dengan gelaran Abang Wahid itu, penulis bertanya tentang bagaimana sambutan penonton terhadap teater yang masih berlangsung hingga 30 April ini di Dewan Auditorium Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MTC) itu.
Katanya, jualan tiket sentiasa habis dan dewan itu dipenuhi dengan penonton setakat malam Jumaat lalu berbanding dengan malam Sabtu yang kurang sedikit.
“Bagi saya, persembahan pelakon pada malam pertama lebih bagus berbanding malam keduanya. Dan respon penonton pada malam pertama juga lebih baik dari malam kedua pula kerana kebanyakan penonton yang datang semalam (malam Sabtu) adalah dikalangan mak cik-mak cik. Jadi, mereka ini sangat pasif. Mungkin sebab itu memberi sedikit kesan negatif kepada pelakon.
“Diharapkan, penonton yang datang pada malam-malam seterusnya lebih aktif dan memberikan respon yang baik,” beritahu Wahid yang sedang dalam proses menyiapkan skrip teater seterusnya iaitu “Anak Ikan”.
Melihat kepada tajuknya, mungkin orang memikirkan tentang isu sensitif. Namun, beliau tetap akan meneruskan usahanya kerana seronok menghasilkan karya sebegitu.
Saksikan Teater Muzikal Patung Kertas yang sedang ditayangkan bermula 25 April lalu hingga 30 April iaitu hari ini jam 8.30 malam di Dewan Auditorium Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MTC), Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Tiket dijual pada harga RM30 dan RM50. Tempahan boleh dibuat di www.ticket2u.biz atau telefon ke 603-4149 8600 / 014-608 3836.
This entry was posted on Wednesday, April 30th, 2008 at 1:51 pm and is filed under Artis, Hiburan. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.





