Konsert terakhir Peterpan?

Oleh HARYATI KARIM


MASIHKAH ada ruang di hati peminat Malaysia untuk Peterpan?


HUJUNG minggu lalu kumpulan terkenal Indonesia, Peterpan, menghiburkan peminat mereka di Stadium Negara, Kuala Lumpur yang merupakan destinasi terakhir siri konsert jelajah Malaysia 2008.

 

Ya, perasaan teruja untuk menyaksikan persembahan mereka selepas pengunduran Andhika dan Indra sememangnya memuncak dalam hati setiap sahabat Peterpan (gelaran buat peminat mereka).

 

Empat anggota asal yang tinggal iaitu Ariel, Uki, Reza dan Loekman cuba untuk menghidupkan kembali aura Peterpan yang pada dasarnya sudah mula kelihatan kabur.

 

Tetapi lupakan sejenak tentang kekaburan hala tuju kumpulan ini, kerana malam itu apa yang penting ialah kepuasan yang dinantikan tatkala menonton konsert Peterpan.

 

Sebaik sahaja lampu pentas digelapkan peminat yang berada berdekatan dengan pentas mula bersorak girang tanda kemunculan kumpulan kesayangan mereka Peterpan yang mula beraksi tepat pukul 9.35 malam.

 

Persembahan yang pada mula kelihatan agak muram terus bertukar suhu apabila mereka mendendangkan lagu ketiga berentak rancak yang berjudul Di Balik Awan dipetik daripada album terbaru mereka.

 

Kemudian suara peminat yang berada di dalam perut stadium negara terus bergema di segenap ruang apabila lagu klasik Ku Katakan Dengan Indah dialunkan vokalisnya, Ariel.

 

Selepas itu dituruti pula dengan lagu Mungkin Nanti dan Di Atas Normal, jelas kelihatan pengaruh besar kumpulan ini masih lagi terletak pada kekuatan karya terdahulu yang cukup utuh di dalam memori setiap sahabat Peterpan.

 

Bukan mahu mengatakan album terbaru mereka Hari Yang Cerah tidak berkualiti, namun itulah hakikatnya. Ini diakui sendiri vokalisnya Ariel, bahawa penghasilan album keempat ini tidak dilakukan dengan sepenuh hati oleh mereka semua dan hanya terjual sebanyak 350,000 unit berbanding 2.7 juta unit untuk album kedua, Bintang Di Syurga.

 

Ini berikutan banyak permasalahan yang melanda kumpulan itu, selain Ariel sendiri yang baru bergelar bapa tunggal setelah bercerai dengan isterinya baru-baru ini.


AKSI dua gitaris Peterpan, Loekman dan Uki yang bersahaja tetapi mesra dengan penonton.


Apa pun masalah yang hadir kepada mereka, perjuangan seni tetap diteruskan. Diakui juga jumlah penonton yang hadir untuk konsert kali ini tidak seperti konsert tahun baru pada tahun 2006 yang berjaya mengumpul seramai 30,000 penonton.

 

Waktu itu, boleh dikira sebagai waktu kegemilangan kumpulan ini di Malaysia. Mereka digilai dan diminati, ini kerana kesemua lagu mereka ketika itu sering sahaja diputarkan dicorong-corong radio.

 

Tetapi tahun ini, di Kuala Lumpur mereka hanya berjaya mengumpulkan sekitar 4,000 penonton. Adakah ini petanda bahawa mereka semakin kurang diminati? Atau mungkin juga ini bakal menjadi konsert terakhir Peterpan di Malaysia?

 

Tiada siapa yang mampu menjawab persoalan itu, kerana, sungguhpun kumpulan ini semakin hari semakin jatuh ke bawah, mereka masih dikira layak oleh penaja untuk menerima tajaan hebat di Malaysia mahupun Indonesia sendiri.

 

Apa yang pasti, melihat daripada kaca mata sebagai salah seorang peminat kumpulan ini, dapat dirasakan taring mereka semakin tumpul kebelakangan ini.

 

Memang mereka hebat dipentas persembahan, tetapi adakah cukup dengan hanya menyogok peminat melalui lagu-lagu klasik sahaja, walhal lagu-lagu daripada album terbaru mereka seakan kurang meraih perhatian. Langsung tidak menyentuh jiwa peminat sebagai mana tiga album terdahulu.Tawar dan hambar saja rasanya setiap kali lagu daripada album baru diperdengarkan.

 

Dan peminat pastinya tidak mahu menyaksikan persembahan yang sama berulang kali. Hal ini juga barangkali menyebabkan tempat kosong banyak kelihatan semasa berlangsungnya konsert berdurasi dua jam itu.

 

Selain empat buah lagu tersebut, mereka turut mendendangkan lagu seperti Ada Apa Dengan Mu, Hari Yang Cerah Untuk Jiwa Yang Sepi, Yang Terdalam, Mimpi Yang Sempurna, Sally Sendiri, Kupu-Kupu Malam, Aku Menunggu Mu, Tak Bisakah, Menghapus Jejak Mu dan diakhiri dengan lagu Topeng.

 

Sebelum Peterpan ke Kuala Lumpur mereka telah mengadakan Konsert Jelajah Malaysia 2008 di Kompleks Sukan Tawau, Sabah pada 19 April lalu, Stadium Perpaduan Kuching, Sarawak (20 April) dan Stadium Tertutup Johor Bahru (26 April).

 

Terdahulu sebelum itu, dalam konsert yang sama kumpulan tempatan, Nitrus, diberi kepercayaan untuk membuat persembahan pembukaan dengan menghiburkan penonton yang hadir dengan tiga buah lagu.


ARIEL bijak mengawal perasaan penonton malam itu.


Kemudian pentas diperhebatkan pula kepada kumpulan Hujan yang sememangnya memberi persembahan yang cukup bertenaga dan menghiburkan.

 

Dengan empat buah lagu, Aku Skandal, Bila Aku Sudah Tiada, Pagi Yang Gelap dan Empayar, kelihatan konsert itu seakan-akan milik Hujan bukannya Peterpan.

 

Agaknya bila kumpulan muzik bebas sebegini diberi peluang oleh pihak penaja tempatan untuk mengadakan konsert mereka sendiri kerana kini nampaknya kumpulan muzik Indonesia sudah kehilangan tempat di Malaysia. Serangan mereka sudah berjaya dimatikan oleh kumpulan muzik bebas kita sendiri.

 

Ini adalah zaman kumpulan tempatan yang mula melebarkan sayap untuk menakluk pasaran muzik di dalam negara sendiri yang selama ini dimiliki dan dinikmati oleh pemuzik luar.

 

Akhir sekali, rata-rata yang hadir sememangnya puas dengan persembahan yang diberikan walaupun ia umpama persembahan ulangan konsert Peterpan dua tahun lalu. Apa yang membezakannya ialah kini mereka berempat dan hanya ditambah dengan beberapa buah lagu baru, itu sahaja.

This entry was posted on Friday, May 2nd, 2008 at 8:57 pm and is filed under Artis, Hiburan. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.

One Response to “Konsert terakhir Peterpan?”

Andie May 5th, 2008 at 1:01 pm

saja nak komen on the stadium capacity. FYI, last time Peter Pan concert at Stadium Merdeka (bola sepak stadium) and they selling the tix much2 cheaper and lot of free tix giveaway. This time concert dorang kat Stadium Negara (badminton stadium) and the tix is much2 expensive lor..mmg la penonton around 5k jek yg muat..stadium tu penuh la, siapa ckp tak penuh???..that stadium nak accomodate 20k???nak jadikan stadium tu sardin ke? for those yg ckp Peter Pan dah semakin tak glamer, pls tarik balik their words, Peter Pan’s music is much2 fantastic than what we have in Malaysia.

-Peter Pan’s fan-

Leave a Reply

*
To prove you're a person (not a spam script), type the security word shown in the picture.
Anti-Spam Image