Senarai Top 5 AIM 2008 timbul tanda tanya!
KITA tahu kita banyak anugerah di dalam industri yang tidak sebesar mana ini. baik untuk diberikan kepada artis atau karyawan dengan ikhlas mahupun mahu mengangkat jenama penganjur itu sendiri, pastinya ia bukan persoalannya dan hakikat sebenarnya adalah kita banyak anugerah.
Untung karyawan Malaysia dalam pasaran yang suam-suam ini pun kita meriah dengan pengiktirafan. Sekurang-kurangnya gelanggang hiburan kita bercahaya juga di sebalik kemalapan benda lain.
Anugerah Industri Muzik atau lebih popular dengan tiga huruf saja – AIM paling dinantikan, kalau bukan artis keseluruhan, setidak-tidaknya anugerah ini menjadi perhatian utama Aditya. AIM paling Aditya hormati kerana diadili para profesional (walaupun entah dari mana profesional itu) tidak menyerahkan 100% kepada peminat yang amat-amat dikhuatiri kecenderungan mereka memilih yang terbaik mengikut citarasa sendiri.
Anugerah-anugerah berdasarkan populariti itu Aditya biarkan tidak dicatat di sini kerana ia bukan perhatian yang harus diambil berat. Kita jangan biarkan populariti kosong mengangkat nama artis untuk didabik dada sebagai suatu pencapaian untuk dimegahkan oleh generasi selepasnya.
Selepas 14 tahun penganjurannya, AIM masih yang terbaik walaupun di dalam kemelut pasaran album yang kian merudum dan persaingan sengit kecanggihan teknologi hari ini. Perkembangan itu harus dilihat lebih positif oleh pihak industri dan menjadikannya sebagai cabaran untuk membawa industri muzik tempatan sealiran dengan perkembangan semasa.
AIM tetap masih yang terbaik biarpun apa yang dipersembahkan saban tahun di atas pentas pada malam kemuncaknya di Dewan Merdeka (biasanya setakat ini) kian hambar, bosan dan tawar dengan pengisian persembahan pentasnya.
Bukan kerana persembahan itu tetapi lebih utamanya kepada pengiktirafan kepada karyawan yang terlibat. Yang tidak terlibat seperti artis pelakon, mungkin persoalan ini tidak berguna sesen pun untuk mereka sebab mereka tidak peka kerana sibuk di lokasi penggambaran.
Bagaimanapun minggu ini apabila melihat senarai Top 5 AIM 2008, lidah kelu seketika dan otak berputar mencari kebenaran dengan nama-nama yang tercatat di atas tujuh helai kertas putih yang turut tertera nama Ernst & Young (letterhead) selaku juruaudit bertauliah yang dilantik. Tidak semua yang menimbulkan keraguan tetapi yang beberapa itu cukup menjadi bahan permasalahan di sini.
Barangkali bukan masalah senarai itu tetapi Aditya yang selalu dilabelkan tidak pernah berpuas hati dengan apa diumum atau bentangkan. Namun ia hanya berlingkar kepada perkara yang berkaitan dengan industri hiburan yang juga kaitan dengan bahan tulisan Aditya.
Seperti lingkaran pola perubahan AIM itu sendiri yang melibatkan pertukaran kategori, boleh dikatakan setiap tahun bergantung perkembangan industri semasa. Kalau tidak cukup pencalonan, kategori tersebut ditiadakan daripada diumum menang tanpa bertanding.
Namun kadang-kadang, pencalonan yang belum cukup jumlah sekurang-kurangnya lima (sesuai untuk dinamakan Top 5) juga diteruskan seperti tahun ini kita melihat kategori Album Pop Etnik Terbaik yang hanya dua saja calon bersaing – Jatuh Cinta Pandang Pertama dan Melodi Ahlaan serta kategori Album Nasyid Terbaik yang bersaing antara tiga calon.
Kekurangan pencalonan itu bukan menjadi persoalan besar di benak Aditya kerana ia peraturan yang dibuat manusia yang boleg berubah mengikut kehendak semasa atau keperluan politik seseorang yang terlibat di dalam percaturan pengiktirafan anugerah itu sendiri.
Kekejutan oleh pihak profesional AIM tahun ini lebih ketara apabila kategori Album Indonesia Terbaik ditiadakan dan diganti dengan Lagu Bahasa Melayu Terbaik Yang Dipersembahkan Oleh Artis Luar Negara. Pihak penganjur mempunyai sebab musanabah kenapa kategori yang bagi Aditya sesuatu yang ‘busuk’ pernah diwujudkan di dalam sejarah AIM ini diadakan tahun 2008.
Busuk kerana melihatkan calon-calonnya – Gigi dengan 11 Januari, Kerispatih (Tapi Bukan Aku), Krisdayanti (I’m Sorry Goodbye), Rossa (Terlalu Cinta) dan Ungu (Kekasih Gelapku). Benarkah ini Melayu yang cuba dimaksudkan? Samakah sangatkah perkataan dan bahasa kita dengan Indonesia walaupun dikatakan serumpun selama ini. Cuba periksa penggunaan kata-katanya untuk lirik.
Paling ketara busuknya apabila lagu Melayu dicampuradukkan, tidak cukup bahasa Indonesia, dengan bahasa Inggeris pula. Macam mana lagu nyanyian Krisdayanti yang terang-terang berjudul dalam bahasa Inggeris dibolehkan di dalam senarai ini. Hello! Anybody there?
Lainlah kalau orang AIM mengiktiraf penciptaan anak tempatan yang dinyanyikan artis luar. Cara ini lebih membanggakan karyawan negara daripada terus mengangkat yang bukan-bukan.
Aditya yang kurang bersetuju dengan album terbaru Datuk Siti Nurhaliza, Hadiah Daripada Hati bukan mahu mempertikaikan bagaimana ia mampu mendominasi pencalonan AIM 2008 kerana anggap saja ia rezeki daripada Allah.
Bagaimanapun beberapa kategori lain turut membangkitkan pertanyaan termasuk Artis Harapan apabila Mila yang popular dengan lagu Persis Mutiara itu tidak lekat di dalam senarai. Kecil sangatkah Mila untuk dibandingkan dengan Candy atau Heliza.
Siapa Aliff Aziz yang difahamkan masih warganegara Singapura tetapi boleh disenaraikan untuk kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album? Anugerah ini bukan untuk penerbit tetapi artis itu sendiri.
Sememangnya Aditya tahu yang semua produksi pembikinan album yang popular dengan Sayang-Sayang itu dibuat di Malaysia tetapi Aliff masih orang seberang tambak. Sejak bila boleh dipertandingkan? Adakah ini AIM atau APM? Kalau begitu, mudah saja kita panggil artis hebat luar negara, terbitkan di sini dan pertandingkan bersama artis tempatan. Apa kata?
Karen Kong membuat kejutan. Siapa perempuan ini yang telah menolak ketepi Liza Hanim yang sebelum ini terkenal dengan kelantangan vokalnya? Teruk sangatkah album Imagin Liza kali ini sehingga terkeluar daripada senarai Top 5? Pastinya tidak, bukan kerana Imagin turut disenaraikan di dalam Album Pop Terbaik. Tidakkah itu membuatkan fikiran kita pusing?
Walaupun ada ketikanya kita perlu bertindak demi menjaga hati pihak tertentu tetapi jangan sampai mengguris perasaan orang lain hanya kerana percubaan mewujudkan ‘keadilan’ sama rata.
Aditya tidak boleh lama-lama di sini kerana makin banyak lagi yang busuk dan berlendir akan keluar. Lebih baik dihentikan catatan ini agar tidak mencalar perasaan profesional AIM. Selamat mengiktiraf!
This entry was posted on Friday, May 2nd, 2008 at 8:54 pm and is filed under Hiburan. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.


