Faizal Tahir tebus maruah di AIM15!


Faizal berjaya menggondol empat anugerah di AIM15

TEBUS maruah! Itulah ungkapan yang paling sesuai untuk Faizal Tahir yang berjaya menggondol empat anugerah dalam Anugerah Industri Muzik ke-15 (AIM15), Sabtu lalu.

Siapa sangka anak muda berjiwa besar ini mampu mencipta kemenangan besar bagi albumnya Aku.Muzik.Kamu, sedangkan dalam masa yang sama sedang dihimpit kontroversi ‘diharamkan’ daripada membuat persembahan di Konsert Jom Heboh di Perlis, Ahad lalu kerana disifatkan oleh Mufti negeri itu sebagai seorang yang mempunyai keperibadian, tingkah laku liar dan tidak matang ketika membuat persembahan pentas.

Menceritakan tentang kemenangan yang tidak dijangkanya itu, Faizal berkata dia amat bersyukur dan jika boleh tidak mahu menyingkap apa sahaja peristiwa yang telah menimpa dirinya.

“Saya sedar sejak kebelakangan ini banyak isu yang timbul berkaitan diri saya. Bagaimapun, kemenangan ini merupakan satu episod baru. AIM adalah AIM dan tiada kena mengena dengan isu-isu lain.

“Yang penting anugerah ini akan menjadi pemangkin untuk saya terus berkarya dan menyumbang untuk industri muzik tanah air,” kata Faizal yang baru sahaja ‘merdeka’ pertengahan April lalu selepas digantung selama tiga bulan daripada membuat persembahan ekoran daripada tindakannya membuka baju ketika menyanyi di konsert 8TV yang disiarkan secara langsung, Januari lalu.

Pada malam berprestij itu, Faizal telah memenangi empat anugerah menerusi album pertamanya iaitu Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Lelaki), Artis Baru Terbaik, Album Rock Terbaik dan Album Terbaik.

“Saya memang tidak menjangka kemenangan ini kerana saingan saya bukan calang-calang. Semuanya nama besar termasuklah Dato’ Siti Nurhaliza.

“Memang ramai yang cakap saya akan menang pada malam ini. Saya bersyukur ia menjadi kenyataan dan ini menunjukkan hasil kerja saya diiktiraf walaupun saya baru bertapak dan masih banyak yang perlu dipelajari.

“Insya Allah, ini akan menjadi satu pembakar semangat kepada saya untuk terus berkarya dan terus bertahan dalam industri muzik tanah air,” kata Faizal yang terkenal dengan imej Superman yang dibawanya.

Faizal berkata, dinobatkan sebagai pemenang terutamanya di anugerah segah AIM menunjukkan ramai yang menaruh harapan kepada dirinya dalam bidang muzik.

People expect a lot. Ia agak menakutkan namun anugerah yang diterima harus dipandang secara positif. Ia sebenarnya membawa banyak kebaikan.

“Memang ia satu bonus namun setelah kita bekerja keras, kita mesti mahukan bonus sebagai pemangkin untuk kita terus bekerja keras.

”Justeru, anugerah ini adalah satu dorongan besar kepada saya untuk untuk terus berjuang dan memberikan yang terbaik kepada industri,” kata pemuda berusia 30 tahun ini.

Ketika ditanya sama ada dia berharap orang akan mengenali dirinya selepas kemenangan ini, berikutan daripada kenyataan Menteri Besar Perlis yang mendakwa beliau tidak mengenali siapa Faizal Tahir, Faizal berkata dia tidak mengharapkan dirinya dikenali.

“Tidak semestinya selepas kemenangan ini, semua orang akan kenal siapa Faizal Tahir dan saya juga tidak harap semua orang mengenali siapa saya.

“Dalam hal ini, yang penting kerja kita diiktiraf dan orangnya datang kemudian. Contoh terdekat ialah Audi Mok. Dia tidak terkenal namun hasil kerjanya sangat bagus,” kata penyanyi rock yang sedang sibuk mengumpul material untuk album keduanya.

Mengakui yang beliau agak terkilan kerana tidak dibenarkan membuat persembahan di Konsert Jom Heboh, Faizal tetap optimis yang dia tidak perlu mengubah personalitinya semata-mata hanya kerana segelintir pihak yang tidak suka.


Seperti sudah menjangka akan menang, Faizal menampilkan
persembahan bertenaga di AIM15

“Macam mana Faizal sekarang, begitulah Faizal yang akan datang. Kalau saya ubah personaliti saya semata-mata kerana ada segelintir pihak yang tidak menyukainya, itu menunjukkan saya hipokrit.

“Saya tidak nafikan memang saya ada sedikit sifat kebudak-budakan seperti yang didakwa tapi mungkin orang dah salah faham. Itu tak bermaksud saya tidak matang. Pengiktirafan pada malam ini membuktikan yang saya matang melalui hasil kerja yang diberikan.

“Kadangkala kita mahu membuat sesuatu yang menghiburkan lebih-lebih lagi bagi mereka yang berada dalam bidang creative thinking seperti bidang muzik, kadangkala kita nak enjoy juga.

“Bagaimanpun, teguran itu akan saya ambil untuk dijadikan panduan memperbaiki apa yang patut,” kata Faizal yang sempat meminta maaf ketika memberi ucapan kemenangan kepada peminatnya di Perlis kerana tidak dapat membuat persembahan untuk mereka.

Faizal berkata, kemenangan albumnya bagi kategori Album Terbaik menunjukkan aliran muzik rock di Malaysia akan terus bangkit.

“Pengiktirafan ini menunjukkan yang muzik rock di negara ini masih kukuh. Kita mempunyai ramai generasi baru yang akan terus memartabatkan muzik rock termasuk Pop Shuvit, Estranged, Meet Uncle Husin dan Hujan.

“Selain itu, saya melihat orang selalu ‘membantai’ kebanjiran artis Indonesia dalam industri muzik kita. Mereka perlu berfikir semula kerana satu ketika dahulu, Wings dan Search begitu popular di negara Indonesia dan orang-orang di sana menjadikan kumpulan rock ini sebagai idola mereka.

“Sekarang ia terjadi kepada kita dan pada saya, kita juga perlu positif,” kata Faizal.

Vokal terbaik kembali ke tangan Siti

Datuk Siti Nurhaliza turut mendominasi AIM15 dengan membolot tiga anugerah menerusi album Hadiah Daripada Hati, iaitu Susunan Muzik Terbaik dalam lagu menerusi lagu Cintamu, Persembahan Vokal Terbaik Di dalam Album (Wanita) dan Album Pop Terbaik.

“Saya bersyukur dengan kemenangan ini dan ini membuktikan cakap-cakap orang yang mengatakan album saya pada kali ini sebagai album ‘tangkap muat’ tidak benar sama sekali.


Siti Nurhaliza menggondol tiga anugerah menerusi album Hadiah Daripada Hati

 

“Alhamdulillah, konsep easy listening yang dibawa dalam album Hadiah Daripada Hati ini berjaya memikat hati juri untuk mengiktirafnya sebagai Album Pop Terbaik,” kata Siti yang pernah memenangi kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Wanita) selama lapan tahun berturut-turut sebelum dimenangi Jaclyn Victor pada tahun lalu.Siti berkata, dia amat berharap akan ada artis-artis dan pencipta-pencipta lagu baru yang muncul dalam industri muzik negara terutamanya dalam aliran pop etnik.

“Kita dapat lihat hanya dua album yang bersaing untuk kategori Album Pop Etnik Terbaik.

“Justeru saya berharap, akan ada generasi baru yang muncul untuk terus memartabatkan muzik pop etnik di negara ini,” katanya.

Antara pemenang lain pada AIM15 ialah Suki yang dinobatkan sebagai Artis Harapan, Waheeda (Album Pop Etnik Terbaik), Rabbani (Album Nasyid Terbaik), Melissa Indot (Album Inggeris Tempatan Terbaik), Andrew Tan (Album Cina Tempatan Terbaik) dan Martin Zamigano (Album India Tempatan Terbaik).

AIM15 juga turut menobatkan lagu Izinku Pergi nyanyian Kaer Azami hasil ciptaan Azlan Abu Hassan dan lirik oleh Sulu Sarawak sebagai Lagu Terbaik bagi tahun ini.

Dua buah anugerah khas iaitu Anugerah Kembara dan Anugerah Wirama pula masing-masing telah diberikan kepada kumpulan Pop Shuvit dan komposer tersohor, Fauzi Marzuki atas pencapaian mereka di dalam industri hiburan tanah air.

AIM15 santai tetapi meriah!

Hampir dua jam ke udara, AIM15 ternyata meriah tanpa perlu memaparkan aksi-aksi over dan meleret-leret. Tahniah diucapkan kepada pengerusi jawatankuasanya, Freddie Fernandez, Jennifer Thompson dan seluruh tenaga kerja AIM15!


Aksi terbang Faizal cipta kelainan
dalam AIM15

 

Persembahan pembukaan oleh Faizal Tahir pada malam anugerah berprestij itu pasti tidak akan dilupakan apabila Faizal melakukan aksi ‘terbangnya’. Dengan menyampaikan lagu, Batu dan Golek serta La Da Di Dum, dia ternyata tidak pernah mengecewakan dengan persembahan kreatif, penuh bertenaga dan pastinya lain dari yang lain. Tahniah buat Faizal!Begitu juga persembahan mantap gandingan Dato’ Siti Nurhaliza, Atilia dan Dayang Nurfaizah. Kemantapan vokal ketiga-tiga mereka menerusi lagu Warisan begitu terserlah dan mengagumkan tetamu yang hadir.

Bagaimanapun, gandingan Anuar Zain, Rahim Maarof dan Mawi menyanyikan lagu Kau Ilhamku tidak mampu menyaingi kekuatan tiga artis wanita itu apabila Anuar Zain tiba-tiba terlupa lirik. Rasanya ia tidak patut berlaku kepada penyanyi yang sudah senior seperti Anuar Zain. Sedangkan pelajar Akademi Fantasia juga teruk dikritik kalau terlupa lirik!

Gandingan Adibah Noor dan Afdlin Shauki sebagai pengacara pada malam itu begitu tepat sekali. Mereka tidak perlu memikirkan dialog lucu untuk diperkatakan kerana sifat lucu memang sudah semula jadi ada pada mereka. Apa yang disampaikan mereka pasti mencuit hati.


Gabungan mantap Dayang Nurfaizah, Datuk Siti Nurhaliza dan Atilia

Ternyata konsep muhibah yang cuba dibawakan Adibah dan Afdlin cukup menghiburkan walaupun kadangkala mereka cuba mengejar masa kerana rancangan yang disiarkan secara langsung di NTV7 itu sudah over run.

Antara artis lain yang membuat persembahan pada malam itu ialah Hazami, Dafi, Karen Kong, Suki, Fiq, Boomerangx, Estranged dan Pop Shuvit.

Secara keseluruhan, AIM15 seperti yang dijangka. Yang dirasakan menang, memang menang. Persembahannya juga santai dan bersahaja seperti yang diharapkan. Bak kata orang cukup garam dan gula!

This entry was posted on Monday, May 5th, 2008 at 5:46 pm and is filed under Artis, Hiburan. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.

Leave a Reply

*
To prove you're a person (not a spam script), type the security word shown in the picture.
Anti-Spam Image