Misteri batu gergasi
Di sebalik pelbagai rahsia yang masih belum disingkap, batu-batu di Stonehenge tetap menjadi antara tarikan pelancong utama di England. 

APA yang tinggal di Stonehenge hari ini hanyalah 40 peratus daripada batu asal yang diletakkan di situ lebih 5,000 tahun lalu.
AHLI akademik berharap mereka akan berjaya merungkai persoalan mengapa Stonehenge, bulatan batu gergasi yang terletak berhampiran Amesbury di Wiltshire, England, sekitar 13 kilometer di barat laut Salisbury itu dibina.Stonehenge merupakan satu binaan Zaman Gangsa dan Neolitik serta ia merangkumi binaan tanah yang mengelilingi batu besar berdiri tegak dalam bulatan yang dikenali sebagai megalit. Monumen itu sehingga kini masih menjadi misteri berhubung usia sebenarnya yang dipercayai mula dibina lebih 5,000 tahun lalu.
Kebanyakan ahli kaji purba mengandaikan bahawa sebahagian besar binaan Stonehenge dibina pada tahun 2,500 Sebelum Masihi (SM) hingga 2,000 SM.
Justeru itu, para saintis berharap bahawa teknologi baru yang digunakan mereka akan membantu untuk menyelesaikan misteri batu gergasi itu sewaktu penggalian secara besar-besaran di Tapak Warisan Dunia UNESCO yang dilakukan baru-baru ini.
“Penggalian ini merupakan peluang utama kami untuk membawa kuasa arkeologi saintifik moden bagi merungkaikan persoalan yang menyelubungi minda para pelancong dan ahli arkeologi sejak zaman pertengahan lagi,” kata Timothy Darvill, Ketua Jabatan Arkeologi dari Universiti Bournemouth Britain yang juga salah seorang ketua ekspedisi terbabit.
Sekitar tahun 2,600 SM, beratus-ratus lelaki mengatur 80 batu gergasi itu di Salisbury Plain, di mana sebelum itu sudah terdapat bulatan batu berusia 400 tahun.
Lebih kurang dua kurun kemudian, batu yang lebih besar telah dibawa dan diletakkan di atas yang berdiri tegak. Hari ini, hanya 40 peratus daripada batu asalnya yang masih ada. Setiap tahun, kawasan ini akan menerima kunjungan lebih 850,000 pelancong.
Batu terbesar dipercayai berasal dari kuari yang terletak kira-kira 30 kilometer (km) dari kawasan tersebut manakala yang lainnya diambil dari bukit di selatan Wales iaitu perjalanan sejauh 250km.
Malah sehingga kini, tidak seorang pun tahu bagaimana mereka mengangkut batu-batu gergasi tersebut, meskipun kajian mencadangkan bahawa ia mungkin dibawa oleh lebih 600 lelaki dengan teknik tersendiri.
“Ia satu persoalan yang masih belum terungkai,” akui Darvill yang mempunyai teori tersendiri iaitu Stonehenge merupakan satu kuil suci yang boleh menyembuhkan penyakit walaupun beliau masih belum mendapat bukti untuk mengaitkannya.
“Sehingga zaman pertengahan, batu-batu biru itu dipercayai mempunyai kuasa penyembuhan.”
Sementara itu, Liam Wolley, salah seorang pelajar arkeologi Universiti Bournemouth yang mengikuti ekspedisi tersebut berkata, dia begitu seronok dengan pengalaman terbarunya itu.
“Ia amat menyeronokkan dan saya begitu teruja dalam setiap penggalian. Saya harap melalui ekspedisi ini, kami akan berjaya menemui sesuatu yang akan memuaskan hati ramai pihak,” katanya.
Projek penggalian ini dijangka mengambil masa lebih kurang enam bulan lagi untuk menganalisis bahan-bahan yang ditemui. - AFP
This entry was posted on Monday, May 5th, 2008 at 5:38 pm and is filed under Isu Semasa. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.


