Intan Ladyana mahu penyebar gambar kontroversi tampil
Oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed
Intan Ladyana |
‘Jangan rosakkan imej saya!’
BELUM terdetik di hati pelakon Intan Ladyana untuk mendirikan rumah tangga buat masa terdekat, biarpun hatinya kini sudah dimiliki seorang jejaka yang bernama Kevin Zahri.
Hubungan Intan dan Kevin yang juga ahli perniagaan serta bekas tenaga pengajar Akademi Fantasia 4 bukan rahsia apatah lagi suatu ketika dulu, pasangan merpati sejoli itu pernah mencetuskan kontroversi apabila gambar aksi `kurang sopan’ mereka disebarkan di internet.
Bagaimanapun, itu cerita lama. Biarpun parutnya masih berbekas dan belum dapat mengubat kelukaan Intan akibat menanggung malu gara-gara gambar `tipu’ itu, Intan mahupun Kevin pasrah dengan ketentuan jodoh mereka. Bagi mereka, biarlah takdir yang menentukan.
Sambil tersenyum, Intan akui: “Kontroversi dulu tak mengubah hubungan kami, saya dan Kevin tak merancang untuk mendirikan rumah tangga buat masa ini, biarlah kami mengenali hati budi masing-masing dulu. Memanglah malu apabila terpalit kontroversi dulu, tetapi apabila saya fikir semula, kenapa perlu takut sedangkan itu bukan gambar saya dan Kevin.
“Mula-mula gambar itu tersebar saya segan nak keluar rumah, lama jugalah saya terperap di rumah, malu apabila orang pandang saya semacam. Saya bernasib baik mempunyai keluarga yang faham dengan situasi saya dan mendapat kekuatan apabila keluarga saya hanya tersenyum melihat gambar itu.
“Mereka tahu itu bukan saya, takkan ibu bapa tak kenal saya. Sekilas pandang pun mereka tahu gambar itu bukan saya dan Kevin. Kalau tak bersalah apa yang nak dibimbangkan, cuma nak mengembalikan kepercayaan orang bukanlah sesuatu yang mudah. Letih juga saya memberi penjelasan pada mereka yang nak tahu.”
Gadis kacukan Melayu-Thailand itu berkata dia tidak pasti kerja siapa, tetapi percaya mungkin ada yang tak puas hati atau mempunyai masalah peribadi dengannya. Kalau tak puas hati, sila tampil ke hadapan sama ada dia mahupun Kevin sanggup bersemuka untuk menyelesaikan masalah yang tersirat.
“Saya nak sangat tahu siapakah yang cuba merosakkan imej dan menjatuhkan maruah saya dan keluarga. Kalau saya dan Kevin pernah menyinggung perasaan sama ada sedar ataupun tidak, rasanya tak baik menganiaya hidup orang lain. Be a gentleman, jangan baling batu tetapi sorok tangan.
“Paling saya tak puas hati apabila penyebar itu mengambil koleksi gambar saya dan Kevin di My Space (internet) dan sanggup menambah gambar lain untuk diubah suai supaya nampak menjolok mata. Tapi sekali lihat gambar itu, saya dapat rasakan itu bukannya perempuan kerana halkumnya tersembul di tekak,” kata pelakon yang mula diperkenalkan menerusi filem Tipah Tertipu.
Suka sifat Kevin yang matang
SEBAGAI manusia, Intan hanya mampu merancang, tapi semuanya ketentuan Tuhan. Intan mengimpikan mendirikan rumah tangga sebelum usianya menjengah 30 tahun. Kini Intan mempunyai sekurang-kurangnya empat tahun lagi untuk menikmati hidup sebagai `orang bujang’.
“Hubungan kami baru setahun jagung, walaupun sudah lama mengenali Kevin tetapi dulu hubungan kami hanya sekadar kawan biasa. Hampir tiga tahun hubungan terjalin tetapi dalam tempoh itu, kami sering terputus hubungan. Hinggalah kami kembali dipertemukan, hubungan biasa bertukar menjadi istimewa.
“Saya tak mahu menyesal di kemudian hari. Kevin bukanlah cinta pertama saya, sudah beberapa kali hubungan cinta saya putus di tengah jalan tetapi bukanlah bermakna saya serik, cuma saya lebih berhati-hati menilai hati budi lelaki. Jadi biarlah saya mengenali hati budi Kevin sedalam-dalamnya dulu, sebelum merancang menamatkan hubungan ke jinjang pelamin. Secara jujur, saya mahupun Kevin masih belum bersedia ke arah membina keluarga memandangkan kami juga sentiasa sibuk dengan komitmen kerjaya.
“Insya-Allah bila sudah sampai seru, saya tidak akan sembunyi hari bahagia saya,” katanya yang baru kembali dari New Zealand menjayakan sebuah drama terbitan Excellent Pictures siaran TV3.
Akui Intan, dia menyenangi sikap matang Kevin yang faham dan akan cuba cari jalan penyelesaian jika mereka berselisih faham, bukannya menambahkan tekanan yang ada.
“Saya suka cara komunikasi Kevin, walaupun tegas tetapi ada prinsip. Dia juga akan cuba sedaya upaya menyelamatkan keadaan sekiranya kami berselisih faham, bukannya menyemarakkan api kemarahan. Memang kami serius dalam hubungan malah keluarga saya dan Kevin juga merestuinya.
“Kevin juga seorang yang bertanggungjawab pada keluarga dan paling penting, tahu mencari duit sendiri dan tidak sesekali bergantung hidup pada keluarga. Pengalaman putus cinta dulu membuatkan saya lebih hati-hati memilih teman istimewa kerana saya tak mahu melalui kesakitan dulu lagi apabila berdampingan dengan lelaki yang tidak matang,” katanya yang akan muncul dalam filem I’m Not Single tidak lama lagi.
INFO: Intan Ladyana
- Nama: Intan Ladyana Mohd Yahya
- Usia: 26 tahun
- Tarikh Lahir: 2 Jun 1982
- Tempat Lahir: Kuala Lumpur
- Zodiak: Gemini
- Kerjaya: Pelakon, pengacara dan model iklan
- Adik Beradik: Anak kedua daripada tiga beradik
- Iklan: Nivea Skincare, Follow Me, Jacobents, Celcom, Sunsilk, Acuvue, Toyota Hilux, Dentyne, Oil Of Olay, Deify Skincare dan Hotlink
- Rancangan TV: Hello Minda dan Adventure Race 2006
- Drama: Trio, Bujal, Bapak Bola Anak Futsal, Puteri dan Jelatang
- Filem: Tipah Tertipu, Jangan Pandang Belakang & I’m Not Single
This entry was posted on Tuesday, May 6th, 2008 at 11:28 am and is filed under Artis. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.


