Nadia ada ‘X-factor’, Riz pula ada ‘karisma’!
BUAT pertama kalinya Akademi Fantasia musim keenam (AF6) pada minggu ketujuh lalu membuat kelainan sekaligus mencipta sejarah dalam program realiti tersebut apabila melakukan konsert secara langsung di Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur.
Berkat bantuan Orkestra Simfoni Kebangsaan Kem Perpaduan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia yang diketuai oleh pengarah muzik terkenal Ramli MS yang juga pengetua AF6, perjalanan konsert pada malam itu berjalan dengan lancar dan lebih menarik berbanding konsert pada minggu-minggu sebelumnya.
Kehadiran tiga orang pengkritik iaitu penyanyi bersuara soprano Ning Baizura, pelakon Adlin Aman Ramli dan produser hebat Datin Seri Tiara Jacquelina juga seakan-akan merestui persembahan mereka kerana kebanyakan kritikan yang dilemparkan tidaklah terlalu keterlaluan dan ‘pedas’ jika dibezakan dengan minggu-minggu sudah.

Persembahan Riz semakin menyakinkan
Memang diakui ada peningkatan dalam setiap persembahan pelajar. Namun, peningkatan yang ditunjukkan tidak mampu memikat hati pengkritik kerana bagi mereka, setiap pelajar perlu menunjukkan suatu ‘x-factor’ seperti kata Tiara.
Bukan mudah untuk setiap pelajar mencari kelainan yang ada dalam diri masing-masing kerana setiap perkara itu mungkin boleh dilihat oleh orang lain berbanding tuan empunya diri. Seperti Nadia, Stanly dan Stacy, masing-masing mempunyai vokal tersendiri yang mungkin sukar dimiliki oleh orang lain yang membuatkan pengkritik nampak ‘x-factor’ yang terkandung dalam diri mereka.
Namun sejauh mana ‘x-factor’ itu mampu dikekalkan, ianya bergantung juga kepada genre lagu yang diberikan. Contohnya, Stanly yang mempunyai suara ala ‘tenor’ ini hanya menunjukkan kehebatan persembahannya pada minggu-minggu tertentu sahaja mengikut lagu yang diberikan.
Seingatnya, beliau telah berjaya melakukan persembahan yang terbaik ketika konsert minggu pertama dahulu. Namun, Stanly dilihat seperti hilang ‘sengat’ pada konsert-konsert seterusnya.
Pada minggu ini, jejaka berusia 25 tahun ini kembali menyerlah apabila diminta mendendangkan lagu ‘Footloose’ nyanyian Kenny Loggins. Beliau mampu menyanyikan lagu tersebut dengan baik sekali mungkin kerana mendapat lagu seumpama ‘makanannya’ itu.

Persembahan Stanly kurang menyengat kerana dia lebih menumpukan pada aspek tariannya
Walaupun begitu, Stanly hanya memberikan ‘ummphh’ pada mulanya sahaja di mana beliau nampak kurang stamina dan semput di akhir nyanyian disebabkan terlalu teruja dan turut menumpukan kepada tarian.
Namun, dengan pencapaian yang dilakukan oleh Stanly yang berkebolehan menyanyi sambil menari, persembahannya boleh dikatakan menuju ke arah ‘perfect’.
Nadia yang mempunyai suara garau dan serak-serak basah ini juga menampilkan persembahan yang paling bertenaga dan vokal yang mantap. Memetik kata-kata Tiara, “Suara awak lebih besar dari diri awak”.
Jika tidak mendapat bantuan vokal daripada dua orang alumni AF iaitu Amylea dan Zarina pun, Nadia mampu menyanyikan lagu ‘One Night Only’ dari filem Dreamgirls itu dengan baik sekali kerana suaranya yang lantang itu sudah dapat menenggelami vokal mereka berdua mahupun penyanyi latar.

Nadia punya X-factor tersendiri dari aspek vokalnya
Ning pula meyakinkan Nadia dengan berkata “Insya Allah, awak boleh menang.”. Lantas AC Mizal sebagai hos program tersebut menyampuk “Bahaya tu!” bagi menunjukkan kepekaan beliau dengan perasaan peserta lain yang mungkin terasa dengan kenyataan tersebut.
Namun, semuanya harus akur kerana sudah namanya program realiti. Takkan yang teruk pula hendak dipuji-puji. Peratus undian Nadia seharusnya dinaikkan kerana beliau sememangnya menunjukkan kredibiliti untuk bergelar seorang penyanyi yang berjaya.
Sementelah latar belakangnya yang pernah bergelar penyanyi band orkestra dan membuat persembahan di IB, ia turut membantu peserta berusia 18 tahun ini untuk mempamerkan persembahan yang senantiasa menerima pujian daripada pengkritik dan para penonton yang seringkali mengikuti perkembangan konsert mingguan AF6.
Stacy yang menduduki carta undian teratas juga mempunyai harapan untuk menyaingi Nadia bagi mendapat gelaran juara. Apa yang dilihat di sini, berilah apa sahaja genre lagu, Stacy pasti mampu membawakannya dengan cara tersendiri dan seakan-akan sedap untuk didengar oleh halwa telinga.
Pujian ini turut dipersetujui oleh pengkritik bilamana Tiara mengatakan nyanyian Stacy tidak dibayangi oleh penyanyi asal lagu ‘Hati (1957)’ iaitu Datuk Siti Nurhaliza walaupun lagu ini seakan-akan sukar dinyanyikan. Ning pula mengatakan, “Saya tak nampak awak sakit tekak. Awak juga nampak ‘real’ di sini walaupun di luar awak nampak ‘main-main’.

Stacy punya harapan bergelar juara AF6 kata pengkritik Adlin Amin Ramlie.Namun Adlin mengkritik gaun yang dipakainya kurang sesuai dengan lagu yang dibawakan pada konsert minggu ketujuh
Awak ada harapan jadi pemenang. Sementara Adlin pula sentiasa peka dengan kostum yang dipakai oleh pelajar AF6 yang membuat persembahan.
Katanya, “Gaun merah awak tak nampak merdeka. Saya nak tengok konsert yang bertenaga. Yang hari ini nampak biasa.” Dalam pada itu, Riz yang mendapat sorakan gemuruh daripada peminat turut menerima kritikan positif oleh pengkritik.

Aliff menjadi peserta ketujuh tersingkir daripada akademi
Ulas Tiara, “Selain ‘x-factor’, setiap penyanyi perlu mempunyai karisma dan awak mempunyai karisma tersebut.” Ning pula mengatakan lagu Memburu Impian nyanyian Kaza itu ibarat lagu Riz sendiri kerana beliau tidak pernah mendengar lagu tersebut sebelum ini.
“Namun, rambut awak seperti mengganggu persembahan ini. Kalau boleh saya nak awak potong rambut,” ujar Ning.
Sementara Adlin memuji Riz yang pandai mengawal suaranya. Walaupun begitu, persembahan Riz dirasakan kurang menyerlah berbanding minggu-minggu sebelumnya.
Tiga orang peserta yang lain iaitu Toi, Alif dan Nubhan hanya menunjukkan kadar momentum persembahan yang biasa.
Namun, persembahan pembukaan Nubhan yang menyanyikan lagu Dealova boleh dikatakan tidak menghampakan penonton.
Alif yang tersingkir pada malam itu menampilkan peningkatan persembahannya melalui lagu Rozana.
Tetapi, beliau nampak seperti tidak bersemangat dan lemah. Seperti kata Adlin, “Awak terlalu relaks. Persembahan awak macam pelakon klip video ‘murah’ yang berjalan-jalan sahaja. Nyanyian awak seperti dapat surat cinta semasa darjah enam. Persembahan hambar tetapi tiada cacat cela.”.
Selain Alif, Toi turut menerima kritikan yang teruk. Boleh dikatakan Toi menunjukkan peningkatan dalam persembahan lagu Syakilla. Namun, beliau perlu mencari ‘X-factor’ untuk membandingkan diri dengan bintang yang lain, seperti kata Tiara.
Mungkin kritikan Adlin untuk Toi yang paling keras sekali apabila membayangkan Toi seperti prebet yang ‘ditembak’ 13 kali. Baginya, begitulah hambarnya persembahan Toi pada malam itu. Namun Toi masih terselamat dan Aliff yang menjadi ‘mangsa’ dan disingkirkan!
This entry was posted on Tuesday, May 6th, 2008 at 11:23 am and is filed under Artis. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.


