Raja Farah pernah diboikot pelakon dan krew ketika penggambaran

Oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed

Raja Farah

JAUH di sudut hatinya, pelakon dan pengacara, Raja Farah cukup tersentuh dengan apa yang berlaku. Hanya sekali `berperang? dengan seorang krew wanita di lokasi penggambaran, dirinya dianggap artis berlagak diva.

Lebih parah lagi, apabila kebanyakan krew dan pelakon yang membintangi drama bersiri itu turut memboikot Raja Farah selama penggambaran dijalankan. Fitnah, tohmahan dan cakap-cakap belakang sudah lali didengar hingga suatu ketika, Raja Farah tidak tahan menahan gelodak jiwa.

Lantas meletusnya `perang mulut? antaranya dan krew wanita yang menjaja cerita negatif hingga dirinya diperlakukan seperti `kera sumbang? di lokasi.

Suka atau tidak, Raja Farah terpaksa menelan hempedu demi menjaga namanya. Walaupun semuanya sudah lama berlalu, nyata ia masih berbekas di jiwanya. Dan hari ini, pengacara rancangan Filem Di 9 terbitan TV9 itu terpaksa membuktikan dirinya tidaklah seteruk disangkakan.

Dengan nada perlahan, Raja Farah akui: ?Saya tidak tahu apa salah, silap saya hingga krew wanita berkenaan begitu membenci saya. Dia menjaja cerita saya berlagak diva, suka mengarah dan tak tahu hormat orang tua sedangkan saya ketika itu, tiada masalah dengan sesiapa pun.

?Apabila saya tanya krew dan pelakon lain, mereka tak pula komen sikap saya. Yang peliknya, hanya krew itu saja yang tak sudah-sudah mengata dan menyimpan dendam hingga sanggup menghasut orang lain membenci saya. Walaupun terpaksa jadi kera sumbang di lokasi apabila pelakon dan krew mula menjauhi, saya masih tak ambil pusing tetapi saya jadi berang apabila krew itu memanggil saya dengan gelaran yang tak sepatutnya.

?Saya sudah lama makan hati dan menahan marah, apabila meletup jangan salahkan saya mengeluarkan kata-kata yang agak kurang ajar. Siapa pun tidak akan dapat menahan sabar jika diperlakukan begitu apatah lagi dipanggil dengan perkataan yang kurang elok. Saya ada nama dan maruah diri.?

Bagaimanapun, Raja Farah berkata, dirinya tidaklah menyimpan dendam terhadap krew terbabit walaupun rentetan peristiwa itu, dia terpaksa melepak di rumah lebih sebulan apabila tiada tawaran berlakon.

Sambil merenung jauh, Raja Farah, 20, mengakui: ?Walaupun semuanya sudah selesai dan krew berkenaan sudah pun meminta maaf pada saya atas keterlanjurannya, saya dapat rasanya ia adalah `plastik? kerana terpaksa mengikut arahan pengarah. Nak atau tidak, dia terpaksa berdepan dengan saya kerana kami shooting bersama selama tiga bulan.

?Saya masih lagi mendengar kata-kata yang tidak enak di belakang saya. Saya rasa betul-betul dikhianati tetapi pada masa sama, saya cermin diri saya. Mungkin ada kelakuan saya yang menjolok mata dan mungkin juga saya pernah buat silap, jadi saya tak mahu terus dibelenggu perkara negatif.

?Untuk menjaga nama dan masa depan dalam bidang lakonan, saya perlu memperbaiki kesilapan dan sentiasa bermuhasabah diri. Alhamdullilah, hanya lebih sebulan saya tiada pekerjaan tetapi kini saya kembali diterima. Dan buat saya terkejut, cerita saya sudah dijaja seantero dunia seni.

?Ada produser dan pengarah yang bekerjasama dengan saya mengakui mereka tersalah anggap pada diri saya. Dan kini saya hanya mahu membuktikan saya tidaklah seteruk yang disangka.?

Suka jadi pengacara

ANTARA lakonan dan dunia pengacaraan, Raja Farah minat kedua-duanya. Tentunya kerjaya pengacara lebih mencabar minda dan keupayaannya. Walaupun pernah dikritik teruk ketika mengacarakan pertandingan Suara Emas Bintang RTM suatu ketika dulu, Raja Farah tak pernah serik, malah sentiasa membaiki kelemahan diri.

Terbaru, Raja Farah dipilih mengacarakan rancangan Filem Di 9 yang ke udara setiap Isnin, jam 10.30 malam di TV9.

?Saya memang suka bercakap, jadi apabila menerima tawaran menjadi pengacara, saya rasa tak salah saya mencuba. Filem Di 9 bukanlah rancangan pertama saya, sebaliknya sebelum ini, saya pernah mengacarakan rancangan Mango TV, Suara Emas Bintang RTM dan Riuh di 1.

?Menjadi pengacara bukanlah semudah bergelar pelakon. Sebagai contoh, saya kerap tersasul ketika mengacarakan pertandingan Suara Emas Bintang RTM yang diadakan secara live. Dan itulah pengalaman pertama saya mengendalikan rancangan secara langsung, jadi saya terima kritikan untuk memperbaiki kelemahan diri.

?Untuk menjadi pengacara Filem Di 9, saya perlu banyak membaca dan kerap menonton filem. Saya tak mahu nak buat ulasan sesebuah filem sekiranya tak menonton filem itu. Bagusnya bergelar pengacara apabila saya lebih banyak membaca untuk mempertingkatkan pengetahuan umum,? katanya yang turut berlakon dalam filem Apa Kata Hati.

Menyentuh mengenai Apa Kata Hati arahan Saw Teong Hin, Raja Farah berkata, filem kelima lakonannya itu akan menemui penonton bermula 29 Mei ini. Filem yang menggandingkan Raja Farah bersama Farid Kamil, Awal Ashaari dan Dynas itu berkisar dilema dihadapi gadis bernama Elly lakonannya, apabila gadis itu boleh mendengar apa saja kata hati lelaki selepas berjumpa bomoh.

?Memang susah buat saya untuk bawa watak dalam Apa Kata Hati, ia lain daripada yang lain memandangkan filem tempatan tidak akan lari daripada kisah percintaan. Saya memegang watak Elly yang begitu yakin dengan cinta sejati tetapi masalahnya lelaki dicintai itu tidak pernah meluahkan perasaan apatah lagi melamarnya,? katanya.

PROFIL: Raja Farah

  • Nama: Raja Farah Raja Aziz
  • Usia: 20 Tahun
  • Tarikh Lahir: 5 Julai 1988
  • Asal: Sentul, Kuala Lumpur
  • Tinggi: 162 sm
  • Berat: 52 kilogram
  • Kerjaya: Pelakon dan pengacara
  • Drama: Impian Illyana, Pesona Cinta, Misi XX Ray, Cinta Medik, Durrani dan Manjalara
  • Rancangan TV: Mango TV (8TV), Suara Emas Bintang RTM, Riuh di 1 dan Filem di 9
  • Filem: Salon, Anak Halal, Malaikat Maut, Aquarium Cinta dan Apa Kata Hati

This entry was posted on Tuesday, May 6th, 2008 at 11:32 am and is filed under Artis, Hiburan. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.

Leave a Reply

*
To prove you're a person (not a spam script), type the security word shown in the picture.
Anti-Spam Image