AIM 15 yang pertama dan terakhir untuk Waheeda
MALAM Anugerah Industri Muzik ke-15 (AIM15) sememangnya telah melakar sejarah tersendiri buat penyanyi yang pernah popular dengan lagu Wassini ini kira-kira lima tahun lalu.
Tatkala dirinya nekad untuk berundur dari bidang seni tidak lama lagi, Waheeda berjaya dinobatkan sebagai pemenang bagi kategori Album Pop Etnik Terbaik AIM15 pada Sabtu lalu menerusi albumnya, Melodi Ahlaan yang mana Waheeda sendiri turut bertindak selaku salah seorang produser album tersebut.
Satu pencapaian yang dilihat mampu menjadi pelengkap karier seni penyanyi yang telah berkecimpung di dalam bidang ini selama kira-kira enam tahun.
Malah, bagi Waheeda sendiri, dia menganggap kejayaan tersebut akan menjadi salah satu kenangan terindah yang akan sentiasa tersemat di dalam hidupnya biarpun bidang seni ini bakal ditinggalkannya kelak.
“Saya terharu dengan kemenangan pada malam ini. Meskipun hanya dua finalis saja yang tersenarai untuk kategori ini, saya tetap merasakan ini satu penghargaan yang cukup bermakna di dalam perjalanan seni saya.
“Secara peribadi, Melodi Ahlaan amat istimewa buat diri saya. Apatah lagi separuh daripada lagu-lagu dalam album tersebut adalah ciptaan saya sendiri.
“Terima kasih kerana mengiktiraf album ini. Rasanya ini adalah award AIM pertama dan mungkin akan menjadi anugerah yang terakhir saya dalam bidang seni ini,” ujar Waheeda yang ditemui sejurus selepas berakhirnya acara berprestij itu di PWTC.
Mengulas dengan lebih lanjut tentang keputusannya untuk meninggalkan bidang seni, kata penyanyi yang bakal menginjak usia 30 tahun pada September ini, dia yakin dengan ‘tindakan’ tersebut yang lahir dari hatinya sendiri tanpa ‘paksaan’ dari mana-mana pihak lain.
Malah, tutur Waheeda juga, ia langsung tiada kena-mengena dengan gosip yang melanda dirinya yang dikatakan sudah berkahwin dengan penyanyi dan pendakwah, Ustaz Akhil Hayy.
“Apa saja keputusan yang saya buat selama ini tidak pernah disebabkan pengaruh sesiapa. Apa yang boleh saya katakan, saya buat semua ini adalah kerana Allah.
“Sudah lama sebenarnya saya pasang niat untuk berundur dari bidang ini, tetapi ada saja perkara yang menghalang. Alhamdulillah, rasanya masa untuk saya berbuat demikian sudah tiba.
“Insyaallah, saya akan selesaikan urusan saya dalam bidang ini secepat mungkin dan kalau boleh, biarlah hasrat saya ini terlaksana pada tahun ini juga.
“Tentang gosip tersebut, biarlah orang terus kata apapun kerana sebenarnya gosip itu telah membuatkan diri saya makin ‘kuat untuk mengharungi hidup.
“Memang pada awalnya saya agak tertekan, tetapi bila difikirkan semula, buat apa saya menjeruk hati untuk perkara yang tidak saya lakukan,” kata penyanyi dan pelakon yang berasal dari Johor Bahru ini.
Akui Waheeda, adakalanya memang berat hatinya untuk meninggalkan bidang ini, tetapi dia yakin ada hikmah di sebalik keputusan yang diambilnya itu.
“Saya memang sedih untuk tinggalkan rakan-rakan dalam industri ini. Tetapi, bagi saya bila sudah berniat ke arah sesuatu, saya akan teruskan. Saya tidak pernah menyesal dengan tindakan ini apatah lagi usia juga sudah meningkat.
“Walaupun saya mungkin bukan lagi orang seni kelak, tetapi muzik akan tetap di dalam hati saya.
“Tetapi, sama ada saya akan terus terlibat di belakang ‘tabir’ selepas ini, rasanya mungkin tidak kerana niat saya adalah untuk terus meninggalkan bidang ini.
“Cukuplah pengalaman yang saya kutip di dalam dunia seni selama ini. Memang secara peribadi, sebagai manusia kita tidak pernah puas dengan apa yang kita lakukan, tetapi banyak perkara lain lagi yang kita perlu fikirkan,” kata Waheeda yang sedang sibuk di lokasi penggambaran sitkom Anak Mami, arahan Prof Razak Mohaideen.
Perancangannya selepas ‘bersara’ kelak, kata Waheeda, adalah untuk bergelar seorang pendidik, satu bidang yang cukup berbeza dengan apa yang diceburinya ketika ini.
“Saya akan beralih kepada pendidikan…mungkin menjadi guru bahasa Inggeris di tadika.
“Tetapi, sebelum itu saya akan selesaikan terlebih dahulu kerja-kerja seni saya yang masih di dalam proses. Album terakhir saya sedang di dalam pembikinan dan kali ini konsepnya lebih kepada ketuhanan dan semua lagu-lagu adalah ciptaan saya sepenuhnya.
“Ia hanya akan memuatkan lebih kurang lima buah lagu saja dan Insyaallah jika tiada sebarang masalah, ia akan disiapkan pada tahun ini juga,” kata Waheeda yang juga bakal menerbitkan novel kanak-kanak tidak lama lagi.
This entry was posted on Wednesday, May 7th, 2008 at 12:53 am and is filed under Artis. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.


