Fragmen: Faizal, imej dan persepsi muzik rock
Oleh Zainuri Misfar
zainuri@bharian.com.my
SEHINGGA hari ini kita belum dapat sebarang reaksi daripada orang ramai dengan aksi Faizal Tahir terbang macam ’superman’ ketika menjayakan persembahan pembukaan di Anugerah Industri Muzik Malaysia (AIM15) yang turut disiarkan secara langsung menerusi ntv7, Sabtu lalu.
Melihat aksi seperti ini mengingatkan kita kepada persembahan Paula Abdul ketika ditugaskan membuat liputan konsert penyanyi dari Amerika Syarikat ini di Stadium Negara, Kuala Lumpur pada Februari 1992.
Ketika itu tidak ada timbul sebarang persepsi kerana penonton yang melihat Paula ‘terbang’ beberapa kali sambil menyanyi kerana menganggap itu adalah sebahagian persembahannya. Paula juga berpakaian elok. Lagipun, sebelum dikenali sebagai penyanyi, Paula sememangnya seorang koreografer yang bagus dan pernah mengiringi beberapa penyanyi terkenal.
Ia tidak menjadi bualan atau isu kerana Konsert Paula Abdul di Kuala Lumpur itu tidak disiarkan di televisyen. Mungkin juga penyanyi itu bukan orang Malaysia. Berbeza sama sekali dengan aksi Faizal. Penyanyi ini seolah-olah melepaskan geram dengan aksi ‘terbang’nya itu. Tapi kita harap bukan itu tujuan Faizal untuk melakukan aksi ’superman’.
Orang mempunyai pelbagai persepsi. Mungkin ada yang beranggapan aksi macam itu seolah-olah hendak menyindir pihak tertentu. Ini perlu dibuat secara berhati-hati oleh Faizal.
Kebanyakan orang kita masih konservatif dan kadang-kadang sensitif tidak bertempat dan keterlaluan. Kita mudah menghukum tetapi tidak pula memberi pilihan kepada mereka yang membuat kesalahan. Faizal dihukum tidak dibenarkan muncul di TV atau tidak boleh membuat konsert, tetapi pada masa sama kita tidak memberi pilihan kepada penyanyi itu apa pekerjaan yang sesuai untuk dirinya sepanjang menjalani hukuman itu.
Namun begitu, Faizal dipandang sinis kerana penampilan dirinya sebagai penyanyi muzik rock. Sekali lagi masyarakat tersalah persepsi. Persoalan yang timbul apakah salah menyanyi lagu rock?
Isu imej penyanyi atau kumpulan rock diberikan persepsi negatif bukanlah satu isu baru. Pada penghujung tahun 1992, Menteri Penerangan ketika itu, Datuk Mohamed Rahmat mengeluarkan arahan melarang penyanyi atau kumpulan rock terkenal dilarang muncul di televisyen RTM atas alasan mereka berambut panjang. Ini memberi tamparan cukup hebat kepada kumpulan Wings, Lefthanded, Wings dan Sweet Charity.
Akur dengan arahan itu, penyanyi rock kumpulan Search, Amy dan Awie dari kumpulan Wings bersama-sama rakan-rakannya terpaksa memotong rambut sehingga paras bahu.
Hanya penyanyi rock dari kumpulan Sweet Charity, Ramli Sarip dilihat agak ‘degil’ sehingga digelar ekstrimis kerana keengganannya memotong rambut. Akibat keengganan Ramli itu, lagu-lagu popularnya seperti Syair Laila Majnun, Iqra’. Kenyataan, Jikalau Berkasih, Kamelia dan Jangan Tunggu Lama-Lama ‘digam’ oleh RTM.
Bukan saja muzik rock, penyanyi pop yang berambut panjang juga dilarang muncul di RTM. Ini berlaku kepada Jamal Abdillah.
Bukan saja RTM, TV3 juga turut menguatkuasakan peraturan sama iaitu mengarahkan penyanyi lelaki yang rambutnya panjang melepasi bahu dipotong. Ini berlaku ketika sesi peringkat separuh akhir Juara Lagu 96 yang membabitkan Zamani dari kumpulan Slam dan vokalis kumpulan Spring, Ameng serta seorang ahli kumpulan Rio.
Dalam konteks masyarakat sekarang, muzik dan gaya adalah dua perkara menjadi satu. Ertinya, pada pemikiran masyarakat umum, apabila mendengar muzik rock mesti terbayang dengan gaya atau imej yang selekeh, berambut panjang, agresif, kasar dan liar. Mereka tidak melihat muzik adalah muzik dan rock adalah sebahagian daripada muzik.
Muzik rock dari dulu hingga sekarang mudah dipandang negatif. Sedangkan muzik rock juga mempunyai elemen positif. Dalam lirik muzik rock, ada juga yang menyentuh soal keagamaan seperti Alam Barzakh daripada kumpulan Wings, Keadilan (Lefthanded), Insan (Yantzen), Taman Rohani (Iklim), Silaturrahim (BPR) dan banyak lagi. Akhir-akhir ada ada kumpulan nasyid menggunakan elemen muzik rock seperti dalam lagu Intifada nyanyian Rabbani. Malahan Rabbani juga turut berduet dengan vokalis Search, Amy dalam lagu terbaru mereka.
Ramli Sarip terus kekal dengan imej rock ketika menyanyikan lagu-lagu yang bertemakan ketuhanan dan kemanusiaan. Muzik rock juga disampaikan dalam pelbagai gaya. Kalau lagu rock yang berentak perlahan atau dinamakan balada rock, bolehlah si penyanyinya beraksi tegak saja. Tapi kalau iramanya rancak dan laju, tentulah pelik juga kalau si penyanyinya berdiri macam tiang lampu jalan pula.
Justeru, toleransi itu perlu ada.
Dalam konteks ini, setiap penyanyi bukan saja Faizal perlu sensitif pada perkembangan semasa. Penyanyi, kumpulan muzik harus memahami bahawa setiap orang mempunyai sikap dan budaya pemikiran yang berbeza. Apa yang difikirkan oleh peminat atau masyarakat di Kuala Lumpur atau bandar besar, tidak sama dengan sikap, budaya dan pemikiran masyarakat di luar bandar atau penduduk di negeri tertentu.
Orang di Kuala Lumpur boleh menerima aksi Faizal tetapi penduduk di Perlis dan Kedah tentunya tidak mempunyai pendapat yang sama dengan orang di Kuala Lumpur. Hal ini juga patut diberi pertimbangan dan perhatian oleh setiap penerbit program hiburan atau yang berkaitan dari semua stesen televisyen.
Pada masa masyarakat juga janganlah terlalu rigid atau keras. Berilah peluang kepada penyanyi dan kumpulan muzik ini mengadakan persembahan di tempat tertentu. Kalau perlu bersyarat, nyatakan syarat dan peraturannya. Misalnya, penyanyi seperti Faizal dibenarkan membuat persembahan tetapi dengan syarat tidak boleh beraksi terlalu agresif atau keterlaluan dan menunjukkan simbol yang tidak disenangi. - zainuri@bharian.com.my
This entry was posted on Wednesday, May 7th, 2008 at 3:08 pm and is filed under Artis. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.


