Maya Karin : Hati sudah dimiliki..
Maya Karin akhiri zaman solo akhir tahun ini
TATKALA ini, topik alam sekitar cukup sinonim dengan aktres yang mempunyai sepasang smiling eyes, Maya Karin, 28. Sehinggakan apabila ditanyakan tentang impian perkahwinannya pun, dia ada merencana beberapa rancangan yang mempunyai saling kaitan dengan subjek itu. Melihat usianya kini, tak dinafikan gadis kacukan Jerman dan Malaysia ini sudah bersedia untuk ke gerbang perkahwinan dan mempunyai sekurang-kurangnya seorang anak.
Mengakui hubungannya dengan seorang lelaki mat salih, cinta hatinya masih berjalan seperti biasa dan sudah berlanjutan dalam tempoh yang panjang.
“Hubungan kami sudah lama sangat terjalin. Pada masa sama juga, hampir setiap tahun saya ditanya bila saya hendak berkahwin,” katanya apabila ditanya berapa lama dia menjalin hubungan dengan kekasihnya itu.
“Banyak perkara yang ingin saya lakukan dalam kehidupan ini. Saya memandang ke hadapan untuk menjadikan ia satu kenyataan termasuklah apabila menyentuh mengenai kehidupan peribadi. Saya masih berhubungan dengan lelaki yang sama dan hubungan itu sudah lama sangat terjalin antara kami. Seperti mana gadis lain, saya ingin membina sebuah keluarga melalui ikatan perkahwinan. Kehadiran seorang, dua anak pastinya bakal menjadi pelengkap hidup saya nanti,” sambungnya lagi.
Jelas Maya, dia memang sudah bersedia untuk berkahwin tetapi tidak gemar untuk membicarakan perkara itu sekiranya ia belum ada kepastian lagi.
“Saya sudah bersedia ke arah (berkahwin) itu cuma saya tak suka bercakap sesuatu perkara yang belum pasti hujung pangkalnya. Bimbang juga apa yang dirancang tak menjadi pula. Yang pasti ikatan perkahwinan bukan perkara mainan. Ini satu ikatan murni, suci dan amat penting dalam hidup saya.
“Sebenarnya memang ada terdetik juga dalam fikiran saya untuk memastikan sesuatu yang berkaitan dengan alam sekitar diselit dalam perkahwinan yang saya impikan. Siapa tahu, mungkin saya akan berkahwin dengan latar belakang berkonsepkan ala-taman yang penuh dengan tumbuhan hijau yang mempesonakan,” ungkapnya sambil tersenyum.
Dalam keghairahan Maya membicarakan soal perkahwinan, terbit juga rasa kebimbangan di hatinya melihat senario semasa yang membabitkan perceraian di kalangan selebriti.
“Menakutkan juga apabila melihat ada perkahwinan di kalangan rakan artis berakhir dengan perceraian. Dalam berdepan dengan cemuhan masyarakat apabila kahwin cerai menjadi topik, pastinya sebagai hamba-Nya kita harus akur dengan ketentuan yang termaktub.
“Semuanya bersifat subjektif, namun saya tidaklah menjadikan trauma itu sebagai penghalang untuk saya berkahwin. Nak berkahwin bukan semudah lafaz A hingga Z, tetapi banyak perkara yang harus dititik beratkan,” kata Maya yang mana kecintaannya terhadap alam sekitar sudah dipupuk sejak kecil lagi oleh bapa tersayangnya, Gottfried Roelcke, 58.
Beralih ke sisi dunia lakonannya pula, sudah banyak watak yang dipegangnya menjadi sebutan. Sebagai contoh, watak hantu pontianak dan terakhir sekali ialah ikan duyung. Keinginan watak yang ingin dilakonkannya kini ialah watak perwira wanita yang gagah. Namun, Maya sedar agak sukar untuk merealisasikan watak dan filem sebegitu kerana memerlukan bajet yang besar. Maya juga teringin untuk melakar nama sebagai pelakon di luar negara.
“Selepas filem Duyung, saya sudah tidak muncul dengan filem lain lagi. Insya-Allah, Julai ini saya berkemungkinan besar akan berlakon dalam sebuah filem yang menampilkan dua heroin. Saya seorang daripadanya. Mengenai tawaran filem, saya bersifat terbuka mencuba sebarang karakter berlainan kerana berprinsip kepada seni tetap seni.
“Sekarang ini saya teringin untuk memegang watak perwira wanita yang menunggang kuda sambil memegang pedang. Tapi itu hanya angan kosong dan saya rasa tidak akan dapat memegang watak sebegitu. Saat ini juga saya berasakan sudah tiba masanya untuk saya melebarkan bakat seni saya ke luar negara. Saya ada beberapa kenalan pelakon Hollywood seperti James Cromweld dan agen lakonan di sana.
“Sebelum ini James ada mengirimkan skrip yang ingin mengetengahkan filem genre peperangan Vietnam kepada saya, namun filem sebegitu agak sukar untuk dilakukan pada masa mendatang, ” katanya.
Dalam pada itu, sikap Maya memperjuangkan alam sekitar harus dipuji. Namun begitu, tegasnya, dia bukan pakar untuk berbicara lanjut tentang alam sekitar. Sebaliknya ia dilakukan kerana kecintaannya terhadap alam sekitar mengatasi segala-galanya. Maya juga memuji media kini yang lebih terbuka untuk menulis tentang isu itu.
Maya juga menjelaskan yang dia bukan mempergunakan topik alam sekitar sebagai batu loncatan untuk bergelar ahli politik.
“Saya tahu dan faham ada reaksi kurang enak daripada sesetengah pihak apabila saya memperjuangkan isu alam sekitar. Tapi saya bukan sebagai pakar dalam bidang itu, sebaliknya secara semula jadinya ia lahir atas inisiatif saya dan saya berhak mencintai alam sekitar ini tanpa prejudis.
“Inisiatif dan kecintaan saya terhadap alam sekitar juga bertambah kerana pihak media sekarang menyambut (menulis) apa yang saya perjuangkan. Sebelum ini, perkara yang sebaliknya berlaku. Itu satu petanda baik, apabila pihak media dan masyarakat sudah mula peka dengan persekitaran itu. Masanya sudah tiba.
“Tak saya nafikan bidang politik itu sesuatu yang menarik. Tapi bukan niat saya untuk menjadikan isu alam sekitar itu sebagai landasan untuk bergelar ahli politik. Pada masa hadapan, kalau ada ruang kecil untuk saya membantu rakyat, mungkin saya akan pertimbangkan,” kata Maya yang ditemui selepas hadir memeriahkan majlis pelancaran studio fotografi baru NSTP baru-baru ini.
INFO:
* Maya terus terang menyatakan kesudian menggalas gelaran Duta Alam Sekitar sekiranya diminta berbuat demikian.
* Berlakon dalam filem No Problem, Seri Dewi Malam, Pontianak Harum Sundal Malam (PHSM), PHSM II, Waris Jari Hantu, Anak Halal dan Duyung.
* Selain berlakon dan menyanyi, Maya juga bergelar hos program Wavelength, VJ Channel [V], Ratu Sehari dan pengacara Road To The Red Carpet, sebalik tabir pembikinan Anugerah Akademi ke-78.
This entry was posted on Wednesday, May 7th, 2008 at 3:12 pm and is filed under Artis. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.


