Musim ‘Kenduri Kahwin’ di Astro Ria

08-05-2008 11:10:13 AM
oleh ZANARIAH ABD MUTALIB


Astro membawa kelainan semasa pelancaran ‘Kenduri Kahwin’
Astro Megadrama dengan mengadakan majlis perkahwinan olok-olok

BULAN Mei datang lagi! Apa lagi yang sinonim dengan bulan Mei kalau tidak musim ‘orang kahwin’. Ramai yang membuat majlis perkahwinan mereka pada bulan ini sempena cuti persekolahan bagi membolehkan sanak saudara turut berkumpul bagi meraikan pasangan yang diijabkabul.

Astro turut tidak mahu ketinggalan untuk meraikan bulan penyatuan dua hati ini. Melalui kempen Astro Megadrama, Astro meneruskan inisiatif untuk menawan hati penonton-penontonnya dengan menawarkan variasi program-program yang bertemakan ‘perkahwinan’ di saluran Astro Ria.

Majlis pelancaran ‘Kenduri Kahwin’ Astro Megadrama telah berlangsung pada malam Selasa lalu di Dewan Yayasan Tun Razak, Jalan Bukit Bintang. Astro memang cuba menampilkan kelainan apabila majlis pelancaran itu turut berkonsepkan sebuah perkahwinan.

Lengkap kesemuanya, daripada paluan kompang, pengantin berarak hinggalah ke persandingan dan acara menepung tawar. Makanan yang dihidangkan juga adalah makanan ‘orang kahwin’ iaitu nasi minyak dan tetamu yang hadir turut dihadiahkan dengan bunga telur dan bunga rampai. Dengan iringan muzik gamelan, Astro berjaya mencipta mood perkahwinan dalam pelancaran rancangannya kali ini.


Astro membawa kelainan semasa pelancaran ‘Kenduri Kahwin’
Astro Megadrama dengan mengadakan majlis perkahwinan olok-olok

Menurut Pengurus Saluran Astro Ria, En Khairul Mizan, Astro cuba menampilkan kelainan pada bulan Mei kerana bulan itu merupakan bulan yang popular untuk pasangan-pasangan mendirikan masjid.

“Kami di Astro juga ingin turut serta membawa kemeriahan majlis kenduri kahwin ke kaca televisyen menerusi program-program yang disuntik dengan elemen-elemen ini.

“Bukan itu sahaja, kami juga memastikan bahawa program-program ini mempunyai pengisian yang diwarnai dengan nama-nama besar dalam arena hiburan tanah air, jalan cerita yang padat dan menghiburkan serta kualiti produksi yang bermutu tinggi.

Khairul Mizan berkata, Astro pada asalnya memang tidak merancang untuk menghimpunkan program-program ini mengikut tema-tema tertentu.

“Kita mempunyai himpunan drama untuk disiarkan. Bagaimanapun, apabila dilihat semula, beberapa drama ini mempunyai tema yang sama.

“Justeru, kita terfikir mengapa ia tidak dihimpunkan dalam satu tema yang sama dan atas dasar itu, kami memulakannya dengan tema perkahwinan yang sememangnya cukup kena untuk disiarkan dalam bulan Mei,” katanya.

Menurut Khairul Mizan, untuk penghasilan drama-drama ini, pihaknya telah membuka peluang kepada syarikat-syarikat produksi luar untuk bekerjasama dengan mereka.

“Kami bersikap terbuka. Mana-mana produksi yang berminat untuk bekerjasama dengan kami, kami amat alu-alukan.
“Cara ini membolehkan kami berbincang untuk mendapatkan idea-idea baru. Kami memberi kebebasan yang sepenuhnya kepada pengarah-pengarah yang terlibat untuk berkarya.

“Kadangkala, jika ada pengarah yang masih tidak proposal untuk diberikan, jika ada idea sahaja sudah cukup untuk dikemukakan kepada pihak Astro untuk diputuskan sama ada mahu diteruskan atau tidak,” katanya.

Turut tidak ketinggalan upacara menepung tawar ‘pengantin’

Menurutnya lagi, Astro akan turut memberikan imbuhan kepada drama-drama yang yang mendapat sambutan.“Kita akan berikan bonus kalau drama mereka berjaya. Sama ada berupa wang ringgit atau pun bentuk-bentuk lain, kita belum putuskan.

“Ini akan menjadi perangsang untuk pengarah-pengarah ini menghasilkan drama-drama yang lebih berkualiti tinggi untuk Astro di masa akan datang,” katanya.

Khairul Mizan berkata, Astro bercadang untuk menyiarkan drama-drama mereka mengikut tema di masa akan datang.

“Bulan Mei sebagai ‘Kenduri Kahwin’ adalah usaha pertama kami. Di masa akan datang, tema-tema lain akan menyusul pula,” katanya.

Jangan lupa menyaksikan program-program yang disiarkan Astro di saluran Astro Ria sempena ‘Kenduri Kahwin’ sepanjang Mei ini. Antaranya adalah maraton Ratu Sehari, drama bersiri Renjis dan pelbagai telefilem termasuk RM8888, The Sangam Boys, Mak Andam Terlampau dan Ketika Inai Masih Merah.

This entry was posted on Friday, May 9th, 2008 at 7:26 am and is filed under Isu Semasa. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.

Leave a Reply

*
To prove you're a person (not a spam script), type the security word shown in the picture.
Anti-Spam Image