Tidak kisah ditinggal-tinggalkan

Oleh FAIZAL SAHARUNI


BAHAGIA dengan kehidupan sebagai isteri orang.


BARU hendak menganyam cinta yang diakhiri dengan ikatan perkahwinan baru-baru ini, Noraniza Idris sudah ‘ditinggalkan’ suami yang sibuk dengan komitmen kerja.”Saya dah biasa,” beritahu Noraniza, 40, atau lebih mesra dengan panggilan Ani sambil tersenyum manis memperlihatkan dirinya bahagia dengan kehidupan baru itu.Alam perkahwinan biasanya diterjemah bak lukisan yang memotret karya indah-indah belaka. Awalan yang perlu disulami bunga-bunga cinta, lalu menguatkan tugu cinta yang dibina supaya berkekalan hingga hujung nyawa.

Sejak awal Februari, transisi wanita ini daripada seorang ibu tunggal sudah bertukar status kepada isteri orang. Kehidupan penyanyi yang terkenal memartabatkan lagu etnik kreatif ini ternyata berubah.


Anak kelahiran Kluang, Johor ini menambah, meskipun suami jarang berada di rumah disebabkan perlu menjalani urusan di luar kota, Ani seakan memahami keadaan tersebut.

“Sebagai isteri saya faham karier abang (panggilan untuk suaminya) yang berkhidmat untuk negara.

“Ia tak jadi masalah buat saya. Walaupun jauh di mata, tapi abang dekat di hati,” ungkapnya sambil bermadah.

Ani mengakui tidak menghadapi sebarang masalah walaupun abang yang dicintai sepenuh jiwa itu tidak berada di sisinya setiap masa.

“Tiap pagi saya akan hantar SMS kepada abang. Saya beritahu dia semua aktiviti yang akan dilakukan pada hari itu.

“Kami juga kerap berhubung. Abang selalu beri galakan untuk saya bekerja lebih keras,” luah Ani jujur.

Melihat Ani yang semakin jelita itu, tiada keraguan lagi dia sedang menikmati fasa kemanisan berumah tangga setelah memasuki tiga bulan bergelar hak milik sah lelaki bertuah berasal dari sebuah negeri di utara itu.

“Ani rasa bahagia sangat sekarang ini. Tambahan pula, Ani dapat sokongan yang tidak berbelah bagi daripada abang walaupun dia hanya memerhatikan dari jauh.

“Dia (suami) juga banyak beri nasihat dan motivasi Ani untuk terus maju dalam kerjaya.

“Abang selalu pesan agar saya tahu bawa diri, ambil berat dengan keluarga dan jaga nama baik sebagai seorang isteri.

“Insya-Allah, Ani akan jaga keharmonian kami dan tidak akan sesekali abaikan kepercayaan yang abang berikan,” jelasnya.

Sebagai suami kepada penyanyi terkenal seperti Ani pastinya memberi tekanan lebih-lebih lagi dunia hiburan yang sifatnya tidak praktik itu tidak sunyi daripada fitnah dan gosip.

SERING berjauhan dengan suami, tetapi Noraniza tidak menjadikannya sebagai halangan kasih sayang.


Lantaran itu, Ani memanjatkan kesyukuran kerana abangnya mengerti karier seni yang dilalui itu. Ani sedar pasti cerita kurang enak dan memualkan tentang dirinya itu bakal mengguris hati banyak pihak.

“Abang selalu pesan jangan membebankan fikiran dengan perkara remeh-temeh. Dia mahukan saya isi masa terluang dengan melakukan benda berfaedah.

“Dengan itu saya bebas daripada sebarang tohmahan buruk yang dapat jejaskan kerukunan rumah tangga kelak,” jawabnya.

Hasil perkahwinan pertamanya bersama Fareez Tajudin yang terlerai sekitar Mei 2006, Ani dikurniakan dua putera - Alif Haikal, 19 dan Mohd. Alfeq Haikal, 15.

Ditanya apakah ada perancangan untuk menambah bilangan keluarganya, Ani memberitahu: “Saya tiada rancangan nak tambah anak.

“Cukuplah dengan anak-anak yang ada sekarang. Abang pun dah ada anak sendiri. Itu dah mencukupi,” luah Ani enggan berselindung.

Puas dipujuk dan dirayu untuk menyiarkan rupa dan latar belakang abangnya itu, namun Ani lebih senang mengambil sikap tidak mengenalkan suaminya kepada khalayak.

“Tak payah kenalkan. Lagipun saya ada banyak cerita lain yang perlu diuar-uarkan. Saya takut ganggu kerja kelak,” pintanya mohon dimengertikan.

Teruja rakam album baru

Bermula awal Jun ini, Ani akan mula memasuki studio bagi merakamkan album barunya yang masih lagi mengekalkan konsep etnik dan fusion seperti sebelum-sebelumnya.

“Saya tiada masa nak fokus pada dua bidang serentak. Bisnes perlu diberi sepenuh komitmen apatah lagi ia memakan masa selama dua atau tiga bulan.

“Setelah semua urusan perniagaan selesai, saya akan tumpukan pula pada pembikinan album.

“Ia (album) memuatkan 10 buah lagu-lagu etnik ciptaan komposer tempatan antaranya Yasin dan Cat Farish.

“Konsep album Ani masih lagi etnik, cuma kali ini mungkin akan ada penambahan dari segi elemen-elemen muzik,” jawabnya yang kali terakhir menghasilkan album kompilasi Lenggok 20 Tahun pada tahun 2006.

Belum berhenti nyanyi

Semangat dan jiwa kental wanita ini dalam melontarkan vokal merdunya mendendangkan lagu-lagu tradisonal ternyata tidak mampu dipertikaikan lagi.

Ani masih mahu menyanyi dan bergelar anak seni. Itulah yang diucapkannya. Jelas sekali darah seni yang mengalir di dalam dirinya tidak mudah untuk dibuang begitu sahaja.

“Saya masih menerima undangan nyanyian. Walaupun dah kahwin saya tetap berazam ingin buat sehabis baik untuk kerjaya.

“Lagipun saya ada anak-anak yang masih belum bernasib baik lagi. Sebab itulah saya kena cari harta dulu dan tumpukan pada nyanyian serta perniagaan.

“Saya buat semua ini untuk masa depan mereka,” rancang Ani bersungguh-sungguh demi memberikan yang terbaik buat dua cahayamatanya itu.

Bisnes makin mengembang

Ani begitu teruja tatkala membicara soal perniagaan yang sedang dijalaninya sekarang. Salah-satunya projek berbentuk kesenian dan budaya yang dibawa khas dari China, Pelayaran Masyhur Laksamana Cheng Ho Ke Melaka.

Bakal berlangsung 1 Ogos ini hingga 30 April tahun depan bertempat di Dataran Pahlawan, Melaka, program tersebut mendapat kerjasama Kementerian Perpaduan, Kesenian, Kebudayaan & Warisan dan Lestari Tours Sdn. Bhd.

“Pertunjukan akrobatik dan silap mata diadakan selama tiga bulan bermula awal Mei hingga penghujung Julai ini. Seramai 50 ahli akrobatik kedua terbaik dunia bakal membuat persembahan.

“Selain itu, Pelayaran Masyhur Laksamana Cheng Ho Ke Melaka bakal menjadi acara yang dapat menyemai rasa cintakan budaya dan memelihara kesenian bangsa agar dapat dikongsi bersama para pengunjung dalam dan luar negara,” jelasnya panjang lebar.

Sesiapa yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung program ini bolehlah menghubungi Anita Omar di talian 016-7236699 atau 017-2046937.

This entry was posted on Friday, May 9th, 2008 at 7:29 am and is filed under Artis. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.

Leave a Reply

*
To prove you're a person (not a spam script), type the security word shown in the picture.
Anti-Spam Image