AF6: Masih corot setelah ‘bergolok bergadai’?

09-05-2008 11:20:09 AM
oleh ZANARIAH ABD MUTALIB


Nadia

AKADEMI Fantasia 6 (AF6) akan masuk ke konsert mingguan kelapan esok. Dalam masa dua minggu lagi, konsert final untuk penentuan juara program realiti popular terbitan Astro itu bakal berlangsung.

Entah di mana silapnya, AF6 tidak seperti AF musim-musim lalu. Tidak salah jika dikatakan AF pada musim ini kurang ‘aura’.

Jika kita singkap kembali zaman kegemilangan AF, kita dapat lmelihat bagaimana AF berjaya mencuri tumpuan penonton bukan sahaja untuk menonton malah mengundi para pelajar di akademi. Penonton seperti ketagih untuk menonton konsert setiap Sabtu dan diari pelajar yang disiarkan lima hari seminggu. Sehinggakan pada satu ketika dulu, Astro sendiri menggunakan tagline “Dah demam?” ketika iklan AF ditayangkan di kaca TV.

Musim pertama mungkin tidak sehebat musim kedua kerana ia musim pengenalan. Zaman kegemilangan Zahid (AF2) dan Mawi (AF3) memang ternyata kemuncak kejayaan AF. Tetapi prestasi rancangan yang mencungkil bakat nyanyian itu semakin menurun ketika masuk musim Faizal (AF4) dan Mila (AF5).

Mungkinkah populariti Mawi terlalu jauh menyaingi juara-juara AF yang lain? Memang tidak dapat dinafikan, aura Mawi terlalu kuat. Manakan tidak, ketika Mila di puncak juga, kedudukan Mawi tetap kukuh.

Pembaharuan besar

mStar Online telah menjalankan undian untuk meminta pandangan pembaca kami, “Penyebab Akademi Fantasia 6 ‘suram’ dan hilang punca:”. Melalui keputusan undian yang diterima, sebanyak 59.4 peratus mengatakan yang penonton sudah mula bosan dengan AF. Jika benar seperti apa yang diundi pembaca kami, Astro mesti mencari formula yang ‘tepat dan pantas’ untuk menarik kembali penonton untuk terus setia kepada program itu.

Jika dilihat, AF6 banyak sekali memaparkan pembaharuan. Dari dalam akademi sendiri hinggalah ke pentas persembahan. Antara yang paling menarik hati penulis ketika menonton diari adalah kewujudan Cik Kutip dan Cik Pungut iaitu kamera yang boleh bercakap pada musim kali ini.


Stanly

Masih segar dalam ingatan penulis bagaimana Farah ketika AF2 suka bercakap dengan kamera yang digelarnya Johnny. Setiap musim selepas itu, kamera itu sering bertukar nama sehinggalah pada musim ini, kita dapat lihat para pelajar boleh berinteraksi dengan Cik Kutip dan Cik Pungut.

Kamera bercakap..siapa yang tidak minat mendengarnya. Mungkin itu salah satu pendekatan yang diambil AF6 untuk menjadikan diari seharian pelajar yang disiarkan lebih menarik memandangkan kamera dalam akademi merupakan salah satu tarikan besar penonton untuk terus menyaksikan diari.

Faktor Aznil

Musim kali ini juga memperlihatkan AC Mizal dan Sarimah Ibrahim masing-masing mengacarakan konsert mingguan dan Diari AF. Begitu besar amanah yang dipikul AC Mizal untuk berada di pentas persembahan setiap minggu. Kritikan demi kritikan diterima AC setiap minggu apabila dia dikatakan tidak setanding dengan pengacara lima musim yang lalu, Aznil Haji Nawawi.

Mungkinkah faktor Aznil juga menjadi penyebab merudumnya tarikan AF6. Kita dapat lihat perbezaan besar gaya pengcaraan Aznil dan AC. Memang tidak salah kalau penulis katakan, ada yang menonton AF kerana suka melihat keletah Aznil. Aznil bagai nyawa yang menghidupkan AF.


Riz

Benchmark yang ditetapkan Aznil terlalu tinggi. Mungkin AC tidak boleh menyaingi AC tetapi penulis melihat AC mempunyai gayanya yang tersendiri. Pengalamannya mengacara tidak boleh ditolak ke tepi. Mungkin dia tidak sekeletah Aznil. Jika keletah itulah yang menjadi penarik, memang AF kali ini sudah ‘rugi’ penonton dan ramai yang merindui Aznil….

Aksi Sarimah pula memang seronok ditonton. Pengalamannya mengacara Fail Sulit AF selama dua musim mungkin menjadikan dia begitu selesa dan sesuai mengacarakan Diari AF. Dengan gayanya yang tersendiri, Sarimah memang layak berada di situ.

Program pengisian AF6

Pada musim ini juga, bukan sekadar Diari AF, Astro juga mempelbagaikan program untuk AF apabila turut menyiarkan Diari EXT, Diari EXT Live dan Radar AF.

Diari EXT yang disiarkan setiap Jumaat jam 6.30 petang memaparkan perkara yang berlaku di sebalik tabir konsert mingguan, pembikinan kejutan di konsert, isu-isu hangat yang timbul di blog, web, forum dan akhbar utama.

Selain itu, Diari EXT yang dihoskan oleh Zainal Alam Kadir ini juga memaparkan Carta Pilihan Pengetua dan turut membuka SMS Poll bagi membolehkan penonton memberikan pendapat mereka tentang setiap isu yang dikemukakan setiap minggu.

Diari EXT turut disiarkan secara langsung setiap Jumaat jam 9.30 malam bagi memaparkan carta pola pengundian pelajar sepanjang minggu serta paparan pola pengundian sebelum dan selepas konsert. Analisis naik turun paratusan undian pelajar juga turut dibincangkan bersama tetamu jemputan setiap minggu.


Toi

Tidak cukup dengan itu, AF6 turut membawakan Radar AF pada setiap Ahad jam 6 petang yang bertujuan untuk mengesan dan meninjau lebih lanjut aktiviti dan isu yang berlaku dalam Diari AF sepanjang minggu.

Begitu banyak yang dilakukan Astro untuk mempromosi AF pada musim ini. Mengapa? Adakah kerana Astro sendiri dapat merasakan prestasi AF6 ini akan merudum? Adakah dengan sogokan program yang berkisar tentang AF ini membuatkan penonton bosan atau pun sebenarnya penonton sudah mula bosan dengan program AF itu sendiri.

Pelajar “tangkap muat”?

Sebanyak 36.2 peratus undian mengatakan pelajar AF6 tidak berkualiti. Benarkah?

Format pengambilan pelajar musim ini juga berubah. Had umur untuk menjadi pelajar AF jika sebelum ini daripada umur 18 hingga 27 tahun kini telah diinjak kepada 45 tahun. Ini membolehkan mereka yang bukan sahaja bergelar ibu dan ayah seperti Saida dan Toi malah yang bergelar nenek seperti Rina juga menyertai AF6. Rina atau lebih sinonim dengan panggilan Mama Rina berusia 44 tahun mempunyai pengalaman menyanyi di kelab selama 20 tahun. Mungkin itu yang memungkinkan dia diterima sebagai pelajar AF6.

Bagaimanapun, adakah format mengenai had umur sahaja yang ditukar pada musim keenam ini? Bagaimana pula dengan bakat? Adakah bakat nyanyian yang sebenarnya dicari? Tidak keterlaluan jika dikatakan pelajar musim ini seperti ‘tangkap muat’. Melihat persembahan sebilangan besar pelajar menyebabkan penulis rasa kecewa. Kecewa daripada semua segi kerana tagline ‘Serlahkan bakat superstar dalam diri anda’ langsung tidak kena.


Stacy

Jika superstar yang dicari, sekurang-kurangnya pelajar AF6 pada kali ini biarlah yang boleh digilap untuk menjadi star kerana kita mahu mencari superstar. Kalau hanya bersandarkan rupa atau pun boleh bermain alat muzik, bukan bakat nyanyianlah yang dicari. Mungkin model, pengacara atau pun pengiring persembahan. Kalau sudah namanya mencari bakat nyanyian, pasti suaralah yang menjadi keutamaan, bukan yang lain-lain.

Tidak semuanya mengecewakan. Ada yang berbakat namun boleh dikatakan segelintir sahaja. Nadia, Riz dan Stacy..itu sahaja. Yang lain, entah kenapa boleh terlepas pandang.

Cikgu berkualiti tapi…

Tidak ramai yang bersetuju teknik pengajaran kurang berkesan menjadi punca AF6 ini tidak sehangat musim-musim sebelumnya. Hanya 4.4 peratus sahaja pembaca kami yang berpendapat sedemikian.

Penulis juga bersetuju dengan pendapat pembaca mStar. AF musim ini sekali lagi menampilkan Ramli MS sebagai pengetua. Pengalaman professional Ramli dalam bidang muzik selama 32 tahun sememangnya melayakkan beliau menerajui AF6, lebih-lebih lagi beliau pernah menjadi pengetua AF musim kedua.

Tenaga pengajar musim ini juga bukan calang-calang. Rasanya AF6 ini cukup ‘garam dan gula’ dengan kehadiran nama-nama besar yang terdiri daripada Anita Sarawak (Perunding Persembahan Pentas), Siti Hajar Ismail (Guru Vokal Teknikal), Syafizawati Sharif (Guru Vokal Persembahan), Genervie Kam (Guru Vokal/ Muzik), Linda Jasmine (Guru Koreografi), Fauziah Nawi (Guru Seni Persembahan), Fatimah Abu Bakar (Perunding Motivasi dan Guru Bahasa Inggeris) dan Jasmi Rejab (Perunding Fesyen).


Nubhan

Diari AF yang disiarkan dari Isnin hingga Jumaat memaparkan bagaiman tenaga pengajar bersungguh-sungguh memberikan komitmen mereka memastikan pelajar memberikan persembahan terbaik di konsert mingguan.

Jika dilihat, terdapat tiga guru yang diberi tanggungjawab mengajar vokal. Semuanya berpengalaman. Bagaimanapun, jika bakat dalam diri pelajar tidak seberapa ditambah pula dengan penguasaan teknik yang lemah, itu bukan lagi salah guru. Kegagalan pelajar mengaplikasikan apa yang diajar di pentas persembahan adalah kelemahan mereka sendiri. Mungkinkah kerana pelajar terlalu gugup? Sifat gugup itu memang ada dalam setiap diri manusia tetapi sampai bila pelajar mahu gugup? Takut nanti sudah keluar dari akademi, mereka akan ‘ditelan’ dan ‘tercicir’ pula dalam arus industri.

Perlukah ada AF7?

Musim keenam ini akan berakhir tidak lama lagi. Selepas ia melabuhkan tirai, cerita-cerita AF pasti sudah tidak menjadi bualan.

Tapi akan sampai masanya orang akan bertanya, akan adakah nanti AF7? Perlukah AF diteruskan jika penonton sudah mula bosan?

Pada penulis, AF sebenarnya punya daya penarik. Mungkin formatnya pada musim kali ini kurang berkesan walaupun pelbagai usaha dilakukan untuk menarik penonton.

Astro perlu mencari formula untuk mengembalikan zaman kegemilangan AF. Kita mahu ‘demam’ itu melanda kembali. Kalau penonton ‘demam’, itulah petanda AF kembali berkuasa sebagai program realiti tersohor di Malaysia.

This entry was posted on Saturday, May 10th, 2008 at 8:21 am and is filed under Artis. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.

One Response to “AF6: Masih corot setelah ‘bergolok bergadai’?”

nisa November 20th, 2008 at 9:33 am

nadia cute ler

Leave a Reply

*
To prove you're a person (not a spam script), type the security word shown in the picture.
Anti-Spam Image