Nabil, mak sama ‘gila’
Oleh FAIZAL SAHARUNI
![]() |
|
NABIL dan humor bagai tidak boleh dipisahkan. Andai tiada istilah lawak, jenaka dan canda sehari dalam hidup pemilik nama penuh Ahmad Nabil Ahmad, 25, maka pincang kehidupan yang dijalani anak muda ini.
Karakter dan wajah Nabil yang selamba itu sudah cukup membuatkan orang lain tertawa. Ada sahaja ‘modal’ yang hendak dikenakan tatkala berdampingan dengan orang di sekelilingnya.
Itu baru orang luar yang menyaksikan watak sebenar Nabil, namun pernahkah anda terfikir bagaimana pula reaksi ahli keluarga terutama emaknya, Rohaizah Abdul Latiff, 56, yang hampir saban hari menatap wajah Nabil di rumah?
“Alhamdulillah, mak boleh terima kegilaan saya. Kalau saya buat lawak, dia boleh layan segala kerenah saya yang gila.
“Bukan itu saja, jika saya berdiam diri, mak pula yang akan buat lawak. Itu yang membuatkan saya sayang mak,” kata Nabil merujuk permaisuri hatinya ketika ditanya Kosmo!.
Dan ulang tahun Hari Ibu yang bakal menjelma esok pastinya memberi seribu pengertian buat Nabil apatah lagi dia kini semakin dikenali ramai hasil meraih gelaran juara Raja Lawak musim kedua.
Bagi pemuda kelahiran Seremban, Negeri Sembilan ini, dia juga punya banyak pengalaman melayari hidup menghampiri setengah abad bersama insan yang digelar emak itu.
“Mak saya macam ibu orang lain juga, cuma apa yang istimewanya mak di mata saya, dia sering dahulukan keperluan dan kemahuan tujuh orang anak berbanding diri sendiri.
“Bukan nak kata, sebelum ini barang kemas emak saya pun tak banyak. Kalau ikutkan hati dia, anak-anak menjadi keutamaan teratas selain suami.
“Lepas dia berhenti kerja, mak jadi suri rumah tangga sepenuh masa. Dia jaga dan membelai kami sepenuh jiwa,” ungkap Nabil bangga.
Mesin basuh baru untuk emakSaat dia ditimpa kemalangan pada tahun 2001 menjadi kenangan yang tidak boleh dilupakan daripada ingatan.
“Waktu itu saya berumur 18 tahun. Bayangkan, mak sanggup rawat dan memandikan saya yang tengah sakit.
“Dia juga belikan ubat-ubatan dengan harapan saya cepat sembuh,” ungkap Nabil.
Sudah menjadi lumrah sikap semula jadi ibu bukannya meminta-minta apatah lagi mahukan kemewahan yang dimiliki anak, sebaliknya ingatan setiap masa cukup memadai buat wanita bernama ibu.
Nabil turut berkongsi pengalamannya memberikan separuh wang yang diperolehi daripada pihak insurans berjumlah RM29,000 setelah dia mengalami kemalangan tujuh tahun lalu.
“Saya dapat duit itu dan berikan setengah kepada mak.
“Tujuannya supaya mak dapat melangsaikan hutang-piutang sekiranya ada. Saya juga belikan mak sebuah mesin basuh baru untuk kegunaan kami sekeluarga.
“Kebetulan mesin basuh lama rosak. Saya tak sanggup nak tengok mak terbongkok-bongkok mencuci pakaian saya,” tutur Nabil penuh keikhlasan.
Dua-dua cepat terujaBibir tebal Nabil tidak henti-henti menyuarakan pendapat peribadi terhadap emak yang disayanginya itu.
“Kami berdua jenis orang yang cepat teruja dengan sesuatu perkara. Itulah persamaan antara Nabil dan mak.
“Mak buat jualan langsung, jadi dia akan beria-ria cerita tentang produknya kepada orang di sekeliling.
“Kalau anda tengok saya dalam program Raja Lawak 2 pun, anda akan tengok saya bercerita bersungguh-sungguh meski pun adakalanya apa yang dicakapkan itu tak benar.
“Itulah yang membuatkan saya dan mak boleh serasi. Persamaan sikap itu memang ada, tapi mak saya selalu bercakap benar kalau dia nak jual barang-barangnya,” jelas Nabil sambil tertawa berdekah-dekah.
Merumuskan emaknya sebagai wanita yang periang, ramah dan selamba, Nabil mengakui ada waktu emaknya bersikap garang jika ada anak-anak yang membuat kesalahan.
“Dia ada pukul saya, tapi bab sepak terajang dia akan serahkan kepada bapa saya. Itulah yang membuatkan saya sayang mak,” kata Nabil.
Hadiah? Tunggu…Menyambung bicara tentang sambutan Hari Ibu, Nabil memberitahu, dia, Mawi dan Heliza bakal membuat persembahan Mother’s Day di Hotel Casurina, Ipoh Perak 17 Mei ini.
“Saya telah pun menempah meja untuk keluarga dalam acara berkenaan. Malam itu saya akan buat persembahan sambil disaksikan famili.
“Yang pasti, saya akan buat kejutan untuk mak. Nak tahu apa, kena tunggulah sehingga majlis itu,” ungkap Nabil penuh berahsia.
Sebelum perbualan telefon kami dihentikan dek dia harus menyelesaikan komitmen kerja, Nabil sempat memberi ucapan khas buat emaknya.
“Nabil sayang mak sampai kiamat,” luah Nabil bersungguh-sungguh.
This entry was posted on Saturday, May 10th, 2008 at 8:17 am and is filed under Artis. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.



