United muncul juara liga

LONDON - Manchester United mengesahkan status selaku kuasa bola sepak England apabila muncul juara Liga Perdana England musim ini.
Skuad kendalian Alex Ferguson itu menewaskan Wigan 2-0 pada perlawanan penutup musim semalam sekali gus menjulang gelaran liga ke-17 dalam sejarah bola sepak England.
Ia juga adalah gelaran ke-10 buat Ferguson sejak pengendali dari Scotland itu membimbing United pada tahun 1986.
Pada aksi di Stadium JJB semalam, United yang turut memburu gelaran kali kedua berturut-turut membuka tirai menerusi Cristiano Ronaldo yang bijak menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-33.
Pemain tengah berpengalaman, Ryan Giggs kemudiannya mengesahkan kemenangan mutlak buat United menerusi gol kedua pada minit ke-80.
Lebih membanggakan lagi, kemenangan itu meletakkan United unggul dengan 87 mata, dua mata mengatasi pencabar terdekat, Chelsea.
Arsenal pula menamatkan saingan musim ini di tempat ketiga dengan 83 mata diikuti Liverpool (76), Everton (65) dan Aston Villa dengan 60 mata.
![]() |
RONALDO bangga menjulang trofi Liga Perdana England yang dimenangi United semalam. |
Sementara itu, Chelsea yang turut berpeluang untuk muncul juara liga sekadar mencatat keputusan seri 1-1 dengan Bolton di Stamford Bridge.
Kevin Davies menafikan hajat tuan rumah untuk mengutip tiga mata penuh apabila menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-90.
Sebelum itu, penyerang Ukraine, Andriy Shevchenko meletakkan Tthe Blues di hadapan minit ke-62 menerusi satu jaringan cantik.
“Kami memang berhak memenangi gelaran ini,” jelas Ronaldo yang muncul penjaring terbanyak liga musim ini dengan 31 gol.
“Semuanya cukup jelas kerana kami telah bekerja keras sejak dari awal musim untuk mempamerkan satu permainan terbaik.”
Giggs pula yang berjaya menyamai rekod penampilan Bobby Charlton dengan 758 perlawanan menganggap kejayaan United muncul juara liga musim ini adalah sesuatu yang istimewa buat dirinya.
“Rekod bukanlah segala-galanya, tetapi kejuaraan ini yang lebih penting,” jelas Giggs. - Agensi
This entry was posted on Monday, May 12th, 2008 at 7:01 am and is filed under Sukan. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.



