“Nilai saya bukan RM6,100” – Marsha
Oleh NOR FADZILAH BAHARUDIN
fadzilah.bahar@utusan.com.my

BARISAN pelakon Kerana Karina 2 bersama-sama pengarah, AidilFitri Mohd Yunus (empat dari kanan) dan Pengurus Besar Alt Media Sdn. Bhd. M. Zulkifli Abd Jalil (lima dari kanan) pada sidang media Kerana Karina 2 di Kuala Lumpur baru-baru ini.
YANG seronoknya menjadi wanita cantik ialah ramai lelaki yang akan tergila-gilakan mereka. Namun begitu, pada masa yang sama, perkara itu bukan mudah untuk ditangani lebih-lebih lagi personaliti itu merupakan selebriti terkenal seperti gadis kelahiran program Akademi Fantasia (AF), Marsha Londoh. Sementelah dia kerap menerima panggilan telefon daripada pelbagai individu yang sering menggodanya.
Mujur, pendirian Marsha sangat teguh dan bukan semudah itu untuk dia cair dengan sebarang godaan.
“Terbaru ada seorang lelaki mewakili bosnya menelefon saya untuk mengajak keluar minum-minum.
“Katanya, dia sanggup bayar saya RM6,100 untuk keluar bersama bosnya. Tapi saya menolak dengan baik. Saya mahu mereka semua tahu saya bukanlah perempuan murahan yang boleh dibuat sedemikian rupa.
“Saya masih boleh bekerja dengan menggunakan tulang empat kerat saya bagi mencari rezeki yang halal,” tegas Marsha yang sehingga kini tertanya-tanya bagaimana lelaki tidak bertanggungjawab itu boleh mendapatkan nombor telefon bimbitnya.
Apa yang mengguris perasaan Marsha terhadap panggilan ‘biadap’ itu ialah ada saja pihak yang gemar mengambil kesempatan terhadap populariti artis-artis wanita.
“Mujur saya masih ada keluarga dan mereka sering menasihati saya agar menghindari perkara-perkara yang tidak sepatutnya saya lakukan.
“Saya berharap sangat, saya sendiri masih mampu menjaga diri dan mengekalkan prinsip saya ini,” jelas Marsha yang ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri Kerana Karina 2 di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tidak dibuang keluarga
Tidak keterlaluan jika dikatakan hubungan kasihnya bersama Kefli AF3, satu masa dahulu bertiup kencang.
Terbaru Marsha dikatakan dibuang keluarga dek kerana cintanya terhadap jejaka Melayu tersebut.
Tersenyum manis sambil menggeleng kepala Marsha turut mengakui, dia ada mendengar cerita-cerita tersebut, namun pantas menafikannya.
“Saya ada dengar cerita saya dibuang keluarga kerana bercinta bersama Kefli. Masalahnya hubungan saya dan keluarga saya baik sahaja.
“Mereka juga ada mendengar cerita tersebut dan menghubungi saya. Apa yang boleh saya katakan supaya bersabar dan menerangkan kepada mereka bahawa mereka juga terpaksa menerima tempias gosip-gosip tersebut memandangkan saya seorang artis. Inilah asam garam kehidupan artis yang sudah semakin lali saya tempuhi,” jelas Marsha yang semakin arif dengan kehidupan dunia hiburan.
Tiada lagi cinta
Ditanya mengenai hubungannya dengan Kefli, Marsha mengakui, hubungan mereka kini semakin renggang.
“Kami sudah jarang berhubung, mungkin juga gosip-gosip tersebut antara penyebab kami renggang. Masing-masing sibuk dengan kerja jadi sekarang saya lebih senang dengan kehidupan solo saya,” luahnya tenang.
Dan selepas ini, apakah mungkin jika dia menemui cinta baru lelaki Melayu, dalam tawa yang besar, penyanyi lagu Untuk Terakhir Kali ini berkata: “Tiada lagi cinta dalam hati saya. Saya kini lebih suka menumpukan perhatian pada kerjaya seni saya. Itu yang lebih penting sebab bagi saya, saya masih baru dan masih banyak benda yang ingin saya pelajari lagi. Sama ada lelaki Melayu atau tidak menjadi pilihan saya kelak biarlah takdir menentukannya.”
Mencuba pelbagai
cabang seni
Masih menanti penghasilan album sulung membuatkan Marsha mengambil inisiatif sendiri bagi memastikan namanya masih lagi diingati khalayak seni. Lantas satu persatu tawaran lakonan diterima olehnya.
Terbaru Marsha bakal muncul dalam drama bersiri online berjudul Kerana Karina 2 yang akan disiarkan di portal hiburan gua.com.my.
Membawakan watak Karina, Marsha akui Kerana Karina 2 lebih mencabar keupayaannya sebagai pelakon.
Namun dia bertuah kerana dapat bergandingan bersama-sama pelakon hebat antaranya Azizan Nin, Norman Hakim, Sazzy Falak dan ramai lagi.
“Watak Karina lebih mencabar dalam musim kedua ini. Tapi saya bersyukur kerana dapat juga menjayakan drama ini sebaik mungkin. Walaupun sepanjang penggambaran saya mengalami demam yang teruk tapi nasib baik tidak menganggu suara saya,” jelasnya sambil menguntum senyuman.
Lebih menarik – Azizan Nin
Sementara itu bagi Azizan Nin pula Kerana Karina 2 ini lebih menarik berbanding musim pertama.
“Plot ceritanya semakin berkembang dan konflik percintaan antara saya dan Karina makin rumit. Pelbagai halangan dihadapi dalam musim baru ini,” katanya.
Membawakan watak Imran, tunang Karina, bukanlah satu watak yang sukar. Malah bergandingan dengan Marsha yang juga merupakan pendatang baru bukanlah satu masalah kepadanya.
“Saya senang berlakon dengan Marsha kerana dia gila-gila. Agak mudah mencari keserasian dan dia juga mahu belajar. Jadi tak wujud masalah ketika di lokasi,” jelasnya yang akan membintangi drama berjudul Subuh dan Maghrib terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Jalan cerita lebih tragis
Sementara itu, bagi pengarahnya, Aidilfitri Mohd Yunus pula, jalan cerita Kerana Karina 2 lebih padat dan tragis.
“Anda semua akan dapat lihat bagaimana plot jalan ceritanya dikembangkan. Pelbagai konflik wujud yang akan membuatkan penonton yang menonton akan ternanti-nanti apa yang akan berlaku seterusnya.
“Malah kesudahannya juga nanti bukan seperti yang disangka. Bukanlah kesudahan yang menggembirakan,” terangnya bersungguh-sungguh.
Selain itu jelas Aidilfitri, kemunculan watak-watak baru juga mewarnai drama bersiri tersebut.
“Banyak watak sampingan kita tampilkan. Jadi ia lebih menarik dan menghiburkan,” katanya lagi.
Selain Marsha dan Azizan Nin, Kerana Karina 2 membariskan para pelakon antaranya Norman Hakim, Diana Rafar, Nabil dan Tunku Tiara.
This entry was posted on Tuesday, May 13th, 2008 at 11:23 am and is filed under Artis. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.


