Nilai eksklusif Erra

Oleh HARYATI KARIM


 


ERRA FAZIRA kini terikat? Itulah berita terbaru mengenai aktres cantik yang pernah bergelar pelakon wanita terlaris dan termahal di Malaysia ini.Umum mengetahui jika dari segi status, sememangnya wanita jelita ini sudah terikat dengan gelaran isteri.

Justeru, apa pula yang mengikat Erra selain menjadi suri kepada Ketua Pegawai Operasi stesen radio SuriaFM, Engku Emran Engku Zainal Abidin?

Sebenarnya ia ada kaitan dengan perkembangan terbaru dalam karier lakonannya.

Dikenali juga sebagai penyanyi tetapi kerjayanya dalam bidang seni suara tidak begitu menyerlah sebagaimana bidang lakonan.

Sungguhpun sudah berbelas tahun bergelumang dalam dunia seni, namun mungkin ramai tidak menyedari bahawa kelibat Erra belum pernah muncul dalam mana-mana drama TV tempatan.

Mungkin sudah itu yang dihasratkan yang empunya diri, meletakkan status dirinya hanya sebagai pelakon filem, tetapi apa yang mengejutkan, baru-baru ini Erra berhasrat untuk berlakon drama pula.

Ramai juga terkejut dengan perkembangan terbarunya itu, tidak kurang juga ramai penerbit menawarkan watak untuk pelakon si cantik manis ini.

Namun, daripada sekian banyak tawaran lakonan yang diterimanya, Erra menolaknya dengan baik.

ERRA bersama Amber Chia (kiri) pada pelancaran barangan kemas Betelgeuse di Kuala Lumpur baru-baru ini.



Bukan sengaja mahu menolak rezeki tetapi katanya dia kini telah diikat.”Saya baru saja menandatangani perjanjian dengan pihak Astro untuk menjadi duta saluran baru mereka dan juga duta untuk kempen MegaDrama.

“Ini bermakna apa sahaja yang melibatkan drama saya akan terikat dengan Astro, termasuk untuk drama pertama terbitan saya yang berjudul Tiara juga akan ditayangkan di Astro,” ujarnya.

Ditebak dengan persoalan apakah faktor yang menyebabkan dia bersetuju untuk terikat bersama Astro dan tidak takutkah dia keputusannya itu bakal merugikan dirinya sendiri kerana lakonannya tidak dapat ditonton di stesen televisyen yang lain, jawab Erra: “Perjanjian ini hanya untuk setahun dan hanya melibatkan drama sahaja.”

“Selain daripada drama semuanya okey termasuklah pengacaraan, kemunculan dalam program hiburan atau apa-apa sahaja asalkan bukan drama.”

Tambahnya, tawaran tersebut sebenarnya sudah diberikan kepadanya sejak tahun lalu lagi.

Justeru, keputusan yang diambil ini setelah dia berfikir panjang kerana bimbang tersalah pertimbangan.

“Saya tidak dapat menolak tawaran ini sebab ia terlalu bagus. Bukan sahaja memberi peluang kepada saya untuk memilih watak dan drama apa yang saya ingin lakonkan, malah saya juga diberi peluang untuk menerbitkan drama.

KALI terakhir Erra muncul di layar perak menerusi filem Anak.



“Ini peluang yang sayang untuk saya lepaskan kerana saya juga bebas untuk berkarya kerana menerbitkan drama sendiri itu satu peluang yang jarang saya miliki,” beritahunya lagi.

Merupakan sebuah drama bersiri, Tiara bakal menjadi buah tangan yang sungguh bermakna buat dirinya.

Ini kerana drama 26 episod itu mengangkat Erra sebagai watak utama di samping dua aktres handalan tanah air, Umie Aida dan Vanida Imran.

Drama yang bakal ditayangkan dalam tahun ini berkisarkan tentang kehidupan wanita.

Ia merupakan hasil idea Erra sendiri, malah daripada segi skripnya juga pelakon berusia 34 tahun ini akan campur tangan.

“Sebenarnya saya dah lama berhasrat untuk berlakon drama, dan peluang ini selain mengembangkan bakat seni saya.

“Ia juga secara tidak langsung dapat mengembangkan syarikat saya, Erra Fazira Entertainment.

“Bagi saya, ini satu jambatan yang bagus untuk karier dan perniagaan saya,” jelasnya.

Mohon stesen TV bersikap profesional Dalam pada itu, Erra berharap agar pihak stesen TV lain bersikap profesional dan tidak mengambil hati dengan keputusannya ini seperti kata Erra: “Mereka (stesen TV) tidak boleh menyekat rezeki saya, kerana tawaran Astro terlalu bagus.

“Astro melangkah lebih dulu untuk jangka panjang dan jangan risau kerana perjanjian itu hanya untuk setahun, mana tahu selepas itu lakonan saya boleh dilihat di stesen televisyen lain pula”.

Sungguhpun semakin sibuk kerana menjadi penerbit dan juga pelakon drama, tetapi beritahunya, sudah ada beberapa projek khas untuk hari lebaran yang sedang menanti untuk dijalankan.

Tambah Erra lagi, dia sangat teruja dengan perubahan kerjayanya kini, kerana baginya berlakon dalam drama dan filem punyai perbezaan yang cukup besar.

“Bagi saya berlakon drama kita akan rasa dekat dengan orang ramai, kerana jalan cerita dan watak yang akan dipegang itu boleh dipelbagaikan.

BERSAMA suami tersayang.



“Ia disebabkan masa tayangan di TV yang lebih lama berbanding filem,” jelasnya.

Masih mahu ke layar perakJusteru, mungkinkah selepas ini Erra akan berehat seketika daripada berlakon di layar perak, tutur Erra, “Rasanya sudah lama saya berehat daripada filem. Sekiranya ada tawaran dan watak yang bagus, saya tidak akan menolak.

“Dalam beberapa tahun ini saya sudah pun memilih watak untuk lakonan dalam filem, cuma kadang-kala penerbit filem lebih gemar bagi saya watak yang sama dan pernah saya lakonkan sebelum ini.

“Kalau boleh saya nak watak yang lebih mencabar seperti dalam filem aksi atau pun psiko.”

Dalam pada itu, Erra bakal muncul menerjusi filem Hidden dan Lost And Found.

Muncul dengan album baruSelain drama dan filem, dia juga khabarnya bakal mengurung diri dalam studio rakaman pada Jun ini untuk rakaman album terbarunya bersama Suria Records.

“Genre album itu rock, tapi bukannya rock yang ganas tetapi rock yang manja (ketawa), dan berkemungkinan besar ada 12 buah lagu.

“Komposernya adalah dari Malaysia dan juga Indonesia. Apa yang pasti, tiga dari seberang dan selebihnya orang kita sendiri,” tuturnya mengakhiri bicara.

Sebelum itu, Erra terlebih dahulu merasmikan pembukaan butik barangan kemas jenama Betelgeuse yang terletak di Star Hill, Bukit Bintang Kuala Lumpur.

This entry was posted on Tuesday, May 13th, 2008 at 11:18 am and is filed under Artis. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.

Leave a Reply

*
To prove you're a person (not a spam script), type the security word shown in the picture.
Anti-Spam Image