Semakin tembam

Oleh SHANIKA ABDULLATIB

shanika.abdullatib@kosmo.com.my

Laman Friendster menjadikan Hui Yee lebih rapat dengan keluarga penderma jantung, Chin Yoon Kiong.


 



GERAM pula rasanya memandang pipi gadis remaja ini yang tembam dan tidak lekang daripada senyuman. Dia juga kelihatan santai dalam baju T hitam dengan rambut lurus dilepaskan. Tuturnya lancar dan sesekali disulam tawa berderai.“Saya lebih gemuk sekarang, dah 36 kilogram (kg) berbanding dulu yang cuma 34 kg. Suka sangat makan dan kalau rajin, saya akan masak sendiri,” ujar Tee Hui Yee, 15, sambil ketawa besar ketika ditemui di kediaman keluarganya di Parit Besar, Batu Pahat, Johor.

Bekas penerima jantung mekanikal kedua negara ini pernah mencecah berat 37 kg sebelum susut sehingga 34 kg selepas setahun bergantung hidup dengan sebuah mesin jantung.

Tahun lalu, sememangnya tiada yang lebih menyentuh perasaan selain melihat wajah sayu Hui Yee merayu untuk mendapatkan jantung baru.

“Saya harap akan mendapat jantung baru secepat mungkin kerana saya hanya ada setahun lagi untuk bergantung hidup pada jantung mekanikal ini,” kata Hui Yee sambil menangis teresak-esak.
Linangan air mata gadis itu menyebabkan para wartawan, jurugambar dan barisan doktor, jururawat serta kakitangan Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, terdiam sebentar dan ada juga yang turut menitiskan air mata.

Akhirnya, Oktober lalu, setelah menjalani pembedahan yang berlarutan selama 22 jam bagi menerima dua jantung yang didermakan, Hui Yee berjaya menanggalkan jantung mekanikal yang sekian lama menjadi kembarnya.

“Syukurlah. Saya dah tak banyak bimbangkan Hui Yee lagi. Dia telah sihat sepenuhnya sejak tujuh bulan lalu,” ujar ibunya pula, Dina Bato Sam Hua, 47, sambil memandang Hui Yee dengan mata bercahaya.

LAMAN Friendster menjadi sumber kegembiraan Hui Yee kerana dia boleh mengumpul ramai kawan.



Ternyata wajah duka keluarga ini selama setahun merayu penderma jantung, telah berlalu.

Kini, rutin harian Hui Yee bermula seawal pukul 9 pagi. Pukul 10 pagi pula merupakan waktu wajib untuk mengambil ubat.

“Saya masih bergantung dengan beberapa jenis ubat dan perlu mengambilnya setiap hari pada pukul 10 pagi. Ubat itu bagi memastikan saya tidak mengalami sebarang masalah seperti keletihan atau penolakan jantung secara tiba-tiba,” beritahu Hui Yee.

Pukul 2 petang, dia sudah terpacak di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Batu Pahat, dua kilometer dari rumahnya.

Sejak menyambung semula persekolahan Januari lalu, Hui Yee sentiasa teruja untuk ke sekolah walaupun terpaksa mengulang di tingkatan dua. Hui Yee ditempatkan di kelas tingkatan dua Lili dan duduk di barisan keempat dari hadapan.

“Subjek yang sangat saya gemar ialah Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu dan Matematik. Sejarah adalah yang paling sukar buat saya. Markah ujian saya pula sekadar lulus,” ceritanya yang mengakui mendapat perhatian yang lebih daripada guru-guru.

Meskipun tidak digalakkan aktif bersukan, Hui Yee tetap menyertai pasukan pakaian seragam St John Ambulans dan bercadang untuk menyertai Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) apabila tiba masanya kelak.

“Saya pernah menderita kesakitan. Saya akan puas bila dapat membantu orang lain menggunakan ilmu yang dipelajari daripada aktiviti seperti itu,” katanya yakin.

HUI YEE menangis teresak-esak semasa merayu penderma jantung di IJN, September lalu.



Sesekali Hui Yee terasa dirinya seperti selebriti. Bukan saja di sekolah, malah hampir semua tempat yang dikunjungi ada saja orang yang mengenalinya. Ia mungkin disebabkan kisah kemanusiaannya yang begitu mengesankan.

Waktu hujung minggu Hui Yee sering dihabiskan dengan bersiar-siar di bandar Batu Pahat sambil ditemani ibu dan sepupunya untuk membeli-belah atau menonton wayang.

“Saya sukakan aktiviti itu. Filem Kungfu Dunk lakonan Jay Chou adalah yang paling best setakat ini,” ujar Hui Yee yang mesra dipanggil Darling atau Joey di kalangan anggota keluarganya.

Anak pasangan Tee Ah Soon, 53, dan Dina Bato ini juga giat dengan hobi barunya iaitu mengumpul rakan-rakan menerusi laman Friendster. Menurut Hui Yee, sudah lebih 200 rakan dari Malaysia, Singapura dan Brunei yang dikumpulnya setakat ini.

“Saya menyertai laman ini secara aktif kira-kira enam bulan lalu. Banyak yang saya kongsi dengan kawan-kawan di luar sana,” ujarnya.

Tambah Hui Yee, Friendster juga menjadikan dia lebih rapat dengan keluarga Chin Yoon Kiong terutama adik mendiang, Chin Yoon Liong, 10. Yoon Kiong mendermakan jantungnya kepada Hui Yee setelah dia koma dan meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di Johor Bahru.

“Boleh dikatakan setiap malam selepas menyiapkan kerja sekolah, saya akan menggunakan laman tersebut untuk bertanya khabar dan bertukar-tukar cerita,” katanya yang telah memuat hampir 100 keping gambar di dalam ruang itu.

 



Satu-satunya perkara yang membimbangkan Hui Yee kini ialah jika berlaku ‘malapetaka’ secara tiba-tiba sewaktu tidur dan dia tidak sempat meminta pertolongan.

“Saya takut mati,” akuinya yang belum pernah mengalami masalah tidur setakat ini walaupun kadangkala tidur lewat iaitu sekitar pukul 11 malam.

Tinggal di kawasan kampung dengan rumah batu tiga bilik yang dibina di atas sebidang tanah lot, keadaan tersebut banyak memberi ketenteraman kepadanya yang memerlukan rehat dan tidur yang mencukupi iaitu sekurang kurangnya lapan jam sehari.

Walaupun semakin baik, Hui Yee tetap berasa bimbang tentang kesihatannya.

“Menjalani rawatan susulan kadangkala memberi tekanan kepada saya kerana bimbangkan keputusannya nanti. Tapi saya sedaya upaya menjalani hidup seperti yang disarankan oleh doktor,” katanya yang masih membawa salah satu kenang-kenangan dari wad IJN iaitu anak patung.

Ada 25 anak patung semuanya di rumah Hui Yee hasil hadiah daripada mereka yang melawatnya di IJN dahulu.

“Paling istimewa, anak patung beruang sebesar saya yang dihadiahkan oleh seorang kenamaan dari Parit Besar, Batu Pahat,” beritahunya yang amat gemar memeluk anak patung tersebut.

Bagaimanapun Hui Yee bercadang untuk menghadiahkan anak-anak patung itu kepada wad pediatrik di IJN.

“Bukan saya tidak menghargai tetapi saya rasa lebih baik anak patung itu berada di sana. Sekurang-kurangnya ia boleh memberi kegembiraan pada kanak-kanak yang sakit dan mempunyai masalah seperti saya,” ujarnya.

Tags:

This entry was posted on Tuesday, May 13th, 2008 at 11:04 am and is filed under Isu Semasa. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.

Leave a Reply

*
To prove you're a person (not a spam script), type the security word shown in the picture.
Anti-Spam Image