‘Tidak guna ada suami jika anak tersisih’
14-05-2008 10:52:32 AM
oleh ZIEMAN

Aishah menghiburkan tetamu dengan beberapa buah lagu pada majlis tersebut (Foto The Star oleh Norafifi Ehsan)
SEPETANG bersama penyanyi terkemuka tanah air Aishah Ariffin pada hari Sabtu yang lalu, di majlis meraikan ‘Hari Ibu & Ayah’ di Restoran Hari Melayu bagaikan menyorot pelbagai kenangan manis bersama.
Hadirin yang membanjiri ruang legar seawal 12 tengahari tidak jemu-jemu menanti kemunculan Aishah walaupun acara persembahan penyanyi itu dijadualkan agak lewat. Kesabaran di setiap wajah yang hadir seperti dapat dibaca.
Memang tidak dapat dinafikan kemeriahan Hari Ibu seakan kurang serinya tanpa Aishah.
Walaupun Pengarah Urusan Restoran Seri Melayu, Rosli Rahmat, pelawak terkenal, mengundang Datuk Jamali Shadat dan penyampai Sinar FM, Khairil Rashid yang bertindak sebagai pengacara majlis untuk melayan tetamu sebelum kemunculan Aishah, namun ianya tidak sehebat mana.
Lewat 3.30 petang, Aishah muncul dengan alunan gemersik suaranya dalam lagu Camar Yang Pulang. Ini diikuti pula dengan lagu Tiada Kata Secantik Bahasa yang turut mengundang empat tetamu, di antaranya ialah Kieran DJ terkenal dari Era.
Aishah mengembalikan nostalgia masa silam dalam lagu ‘Syurga Di Telapak Kaki Ibu’. Lagu yang membawa seribu kenangan bersama ibu tercinta bagaikan mengundang air mata si penyanyi. Seketika itu juga, tergenang air mata di kelopak mata Aishah. Mungkin kisah lampau bersama arwah ibu bagaikan baru semalam berlalu.
Setelah lagu ketiga ini, acara majlis diteruskan dengan cabutan nombor bertuah dan pemilihan Ayah dan Ibu RSM.
Walaupun acara majlis padat dengan banyak hadiah menarik tersedia namun petang yang agak panas itu berlangsung dengan penuh membosankan kerana acara hiburan tidak seperti yang dijanjikan.
Kebosanan penonton bertambah-tambah apabila pengacara majlis dan tetamu Datuk Jamali Shadat membuat lawak yang kurang menjadi dan memberi tips kebahagiaan keluarga yang klise.
Majlis Hari Ibu seperti tidak ada klimaksnya. Aishah hanya muncul kembali setelah separuh tetamu angkat punggung untuk berlalu. Mungkin kehadirannya untuk menutup majlis tidak diduga. Namun, kehebatan vokal Aishah bak buluh perindu itu bagaikan mengubat rasa ’sedikit tertipu’ dan ‘kebosanan’ yang semakin mencengkam.
Lagu ‘Ayah dan Ibu’ dibawa dengan begitu lantang dan begitu membekas pada hati-hati yang masih ada di dalam restoran itu. Seharusnya, majlis Hari Ibu seperti itu perlu disulami dengan lebih banyak hiburan. Walaupun diberitahu Aishah akan membuat persembahan selama 1 jam, namun hakikatnya cuma 15 minit sahaja.
Justru apa yang terjadi, pada tanggal 10 Mei, tetamu Hari Ibu jenuh menanti dan terus menanti untuk satu acara persembahan yang ’seciput’ cuma….
Album baru daripada Aishah
Sikap rendah diri Aishah seharusnya diteladani oleh penyanyi seangkatan dengannya. Sungguhpun sudah bergelar artis terkenal, Aishah masih sudi untuk berduet dengan penyanyi baru, tidak kisah samada mereka itu artis realiti TV atau artis rakaman baru.
Menurut perkhabaran terbaru, Aishah bakal berduet dengan penyanyi baru dari seberang bernama Aliff Aziz, yang popular dengan lagu ‘Sayang Sayang’.
“Saya tidak kisah sebenarnya. Baru atau lama, semua penyanyi itu sama saja. Saya sendiri pernah mendengar lagu Aliff, Sayang Sayang. Dia talented. Saya pun tak sabar hendak lihat hasilnya nanti,” kata penyanyi yang terkenal dengan vokalnya yang mantap ini.
Setelah kerap mengeluarkan album bercorak pop komsersial, kali ini Aishah mahu mencuba yang lain sedikit.
Album baru Aishah agak lain dari segi konsepnya.
“Kalau ikutkan saya, saya inginkan pembaharuan. Mungkin berkonsep ketuhanan sedikit kali ini, seperti lagu nasyid. Tapi semuanya masih dalam perbincangan dan mengumpul bahan lagi…,” jelasnya.
Seperti album-albumnya yang lalu, kepuasan hati adalah matlamat utama membuat album baru ini.
Bahagia bersama dua permata hati
Setelah bergelar ibu tunggal sejak 4 tahun yang lalu, Aishah begitu bahagia dengan kehidupannya sekarang.
“Anak-anak adalah segalanya buat saya. Hanya kami bertiga sahaja dalam satu rumah jadi bayangkan bagaimana rapatnya kami,” kata ibu tunggal pada Armand Azhari Abdullah, 14 dan Azhad Ahlami Muhammad, 8 tahun ini.
Aishah tidak menolak kehadiran orang baru. Namun buat masa ini, dia seperti lebih bahagia hidup sendiri bersama kedua buah hatinya.
![]() |
|
Aishah bahagia bersama anak-anaknya (Foto The Star) |
“Biarlah dulu. Saya bukan serik tapi saya kena berhati-hati memilih teman. Ini soal hidup saya dan anak-anak. Tidak guna ada suami kalau anak saya tersisih…,” jelasnya lagi.Tambahnya lagi, “Siapapun dia, dia mesti menerima dan menyayangi anak-anak saya kerana mereka adalah segalanya…”
Aishah mengakui yang dia seperti sudah sebati hidup berseorangan ditemani dua anak lelakinya yang semakin meningkat remaja. Perasaan sunyi atau ingin didampingi ’suami’ itu bagaikan sudah lama terpadam dari kamus hidupnya.
“Macam mana nak kata sunyi, anak-anak saya senantiasa di samping saya. Saya rasa lebih tenang dan terhibur melayan keletah mereka. Ada-ada saja yang memerlukan saya melayan mereka setiap hari,” kata penyanyi yang cukup popular dengan lagu hitnya ‘Janji Manismu.’
Menurut Aishah, sedapat tidak, dia tidak akan membiarkan anak-anaknya sendirian.
“Apa saja yang saya lakukan, mereka adalah prioriti saya. Sebenarnay saya terlalu sibuk sampaikan saya tidak ada masa hendak fikir pasal hendak ada boyfriend atau suami,” kata Aishah yang gemar memasak dan melakukan kraftangan ini.
Teringat arwah ibu
Lagu ‘Syurga Di Bawah Telapak Kaki Ibu’ bagaikan sinonim dengan Aishah. Di mana saja dia pergi lagu itu adalah lagu wajib baginya. Tambahan pula dalam suasana Hari Ibu sekarang.
“Lagu itu membuat saya sebak dan gembira sekaligus. Sebak kerana saya terbayang wajah ibu saya, gembira kerana ramai sangat yang suruh saya nyanyikan untuk ibu mereka. Jadi perasaan itu bercampur-campur,” kata Aishah.
“Walaupun teruja menyanyikan lagu itu, jauh dilubuk hati saya sebak dan hiba terkenangkan arwah ibu. Saya cukup rindukan ibu. Hidup tanpa ibu dibandingkan ketika ibu ada, jauh bezanya. Sungguhpun saya juga adalah seorang ibu, saya masih merindukan ibu saya…,” sayu suara Aishah ketika ini.
Menurut Aishah, jarang sekali dia tidak menitis air mata apabila menyanyikan lagu ini.
“Setiap lagu perlu penghayatan. Bila saya menghayati lirik lagu ini, saya mesti menangis. Walaupun mak saya sudah tujuh tahun meninggalkan saya, saya masih merinduinya…mungkin sampai bila-bila saya akan merinduinya….”
Aishah mengimbau kenangan ketika mula-mula dulu emaknya meninggal.
“Saya rasa hidup saya kosong dan saya hilang pertimbangan sekejap. Kebetulan pula, ketika itu saya baru bercerai. Mak pula tidak ada, jadi perasaan sedih ketika itu memang cukup sedih sekali….,” kata Aishah.
Agak lama juga Aishah cuba memujuk hati untuk menerima kenyataan ibu kesayangan sudah tiada lagi.
Selain memenuhi undangan menyanyi, Aishah juga masih sibuk dengan bengkel kraftangan yang sudah lama dia lakukan.
“Banyak juga saya mendapat undangan untuk membuat bengkel. Ramai juga surirumah yang berminat untuk buat aksesori sendiri. saya gembira dan terharu dengan semangat yang mereka tunjukkan untuk belajar membuat gelang, rantai dan subang menggunakan bahan dari mutiara, AB, batu swarovski, claps, diamante dan banyak lagi,” kata Aishah yang sedang mengumpul bahan untuk buku barunya tidak lama lagi.
This entry was posted on Wednesday, May 14th, 2008 at 11:27 am and is filed under Artis. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.



