Gang Starz: ‘Gedik’ penyebab Faith tersingkir?
26-05-2008 01:07:41 PM
Oleh SITI AZIRA ABD AZIZBANYAK faktor yang dikesan menyumbang kepada penyingkiran kumpulan dari Singapura, Faith dari program realiti Gang Starz musim kedua semalam.
Faktor empat wanita yang menganggotai kumpulan ini iaitu Norhayati Sulaiman (Jess), Hirliana Mohamad Khir (Lynn), Rosell Reprado (Rosell) dan Zarinah Bahtiar (Zarinah) kelihatan ‘gedik’ sejak minggu pertama konsert Gang Starz mungkin menjadi salah satu penyebabnya.

Faith ikut jejak PZG yang disingkirkan pada minggu kedua (Foto TV3)
Namun, bagi mereka sendiri, mereka sememangnya sudah biasa menunjukkan ekspresi yang mengujakan dan lincah ketika melakukan persembahan. Jadi, mungkin disebabkan itu penonton mudah salah faham dan menganggap mereka ‘over’ dan ‘mengada-ngada’.
Contoh tersebut dapat dilihat ketika mereka menyanyikan lagu Penasaran pada minggu pertama.
“Kami memang ‘easy going’ dan tidak terlalu ’sopan’ ketika melakukan persembahan. Namun, kami tetap mengawal setiap gerak geri agar tidak keterlaluan. Jadi, kami tidaklah terlalu ‘nakal’ kerana kami sudah biasa macam tu,” kata Lynn yang berusia 26 tahun.
Sementara Jess, 23 pula mengatakan, “Aksi tu menunjukkan kami gembira dengan persembahan kami. Mungkin penonton nampak seperti itu sebab kami orang Singapura. Namun, kami hanya menjadi diri sendiri.
“Kami mempunyai identiti tersendiri di mana gaya persembahan kami akan klik dengan lagu yang dipilih. Contohnya, lagu Tamparan Wanita yang kami nyanyi malam ini menampilkan karektor tersendiri seperti Lynn macam budak ‘nerd’. Kami cuba menjadikan persembahan malam ini lebih dramatik.”
Zarinah, 24 pula menganggap faktor mereka berbahasa Inggeris menjadi kemungkinan orang ramai mengata mereka ‘action’.
Selepas kumpulan ini melakukan persembahan, sisipan video Rosell yang berwajah sugul kerana merindui anaknya disiarkan. Selepas itu, pihak penerbitan Gang Starz sekali lagi menjentik kesedihan yang dipaparkan sebelum itu dengan rakaman ucapan suami Rosell bersama anaknya.
Di dalam hati memang sudah terbit rasa ‘bimbang’ dengan kumpulan ini kerana faktor tersebut boleh menjadikan penonton kasihankan Rosell lalu ingin menghantarnya pulang ke Singapura untuk bertemu dengan anak yang dirindui. Akhirnya, penyingkiran Faith mengiyakan teka-teki yang dirasakan sejak awal itu. Mungkin ia sekadar kebetulan?
“Tidak, kami tak rasakan sebab itu kami disingkirkan. Kami sentiasa bersama Rosell dan sepanjang dengan kami dia sentiasa kuat semangat,” ujar Jess.
Lynn pula menambah, “Kalau ada yang cuba mengingatkannya kepada anaknya barulah dia akan menangis. Kami fikir dia tidaklah terlalu teruk apabila menangis dan selepas itu kami menjalankan aktiviti nyanyian seperti biasa.”.
Jika faktor-faktor di atas bukanlah penyebabnya, apakah punca sebenarnya? Pelik juga apabila kumpulan ini disingkirkan terlebih awal kerana mereka dilihat mempunyai potensi untuk bertahan lama dalam Gang Starz.
Semasa mereka mendendangkan lagu Tamparan Wanita yang dipopularkan oleh kumpulan Elite, persembahan pertama oleh mereka sungguh bertenaga dan tampak menarik dengan elemen drama yang dipaparkan.
Mereka juga pandai mengekspresikan diri masing-masing mengiktu emosi yang terkandung dalam lagu tersebut lebih-lebih lagi apabila melihat Lynn yang lebih menonjol dalam kumpulan tersebut berbanding yang lain.

Juri Gang Starz..Dari kiri Ajai, Sheikh Haikel dan Shafinaz
Walau sehebat manapun, mereka tetap tidak boleh lari dari mendengar kritikan oleh juri tetap iaitu komposer dan penyanyi Ajai dan Sheikh Haikel dari Singapura serta penyanyi Shafinaz Selamat selaku juri undangan.
Kata Ajai, susunan vokal mereka kelam-kabut dan persembahan mereka pada malam itu kurang bagus berbanding dua minggu lalu.
“Energi persembahan sangat bagus. Tetapi, vokal Faith perlu sama level antara satu sama lain,” ulas Haikel.
Manakala Shafinaz pula mengatakan persembahan Faith nampak kelam-kabut walaupun harmoni dan bergaya.
Ketika sidang media selepas konsert pada malam itu berakhir, Ajai dan Haikel ada mengulas mengenai penyingkiran Faith.
“Saya rasa mereka tersingkir sebab susunan vokal mereka yang tak kena dan kelam-kabut,” ulas Ajai.
Haikel pula menganggap penyingkiran Faith disebabkan ramai kumpulan terdiri daripada golongan wanita yang bertanding dalam Gang Starz.
“Saya rasa mungkin sebab ramai grup perempuan, jadi Faith terkeluar,” kata Haikel.
Apa yang menarik, Ajai juga ada menyentuh tentang komunikasi antara ahli kumpulan untuk menampakkan keserasian masing-masing.
“Pertandingan ini tidak terhad kepada pertandingan vokal antara kumpulan sahaja. Malah, mereka perlu mengenali setiap ahli dalam grup.
“Bukan hanya nyanyian yang sepadu. Komunikasi juga tidak boleh ‘breakdown’,” jelas Ajai.
Bertanyakan komen kumpulan tersebut samada mereka mengaplikasikan komunikasi yang dimaksudkan oleh Ajai, kata Lynn, “Kami tiada masalah dari segi komunikasi dan saling memahami antara satu sama lain. Kami akan cuba berbincang jika ada masalah dan sentiasa memikirkan ‘aim’ yang sama untuk berjaya dalam Gang Starz.
“Jika melakukan persembahan pun, kami semua akan cuba menunjukkan yang terbaik dan tiada faktor salah seorang daripada kami untuk lebih menonjol.”.
D’ Reborn dan Brown Tone tebus maruah
Jika dua minggu lepas, D’ Reborn dari Indonesia dan Brown Tone dari Singapura dikatakan menunjukkan persembahan yang kurang menarik.
Namun semalam kedua-dua kumpulan ini kembali menebus maruah mereka apabila menyampaikan persembahan yang menarik.

D’ Reborn
D’ Reborn yang mendendangkan lagu I Believe I Can Fly menunjukkan keserasian vokal antara satu sama lain.
Kenyataan tersebut turut diakui oleh Ajai sendiri yang memilih kumpulan tersebut sebagai kumpulan yang paling best pada malam itu.
Kata Ajai, “Persembahan lebih bagus berbanding sebelum ini. Nada suara Alex dan Akung sedap didengar.”
Haikel pula mengatakan, “Minggu ini saya cakap yes, yes, yes..Minggu lepas saya cakap ‘no’ kepada Akung tetapi saya minta maaf kali ini dan kata ‘yes’.”
Shafinaz juga memuji susunan vokal Akung, Monte, Alex dan Christy yang bagus dan kumpulan ini mempunyai vokal yang hebat.

Brown Tone
Brown Tone menyampaikan lagu Orak Arek yang dipopularkan oleh penyanyi terkenal Zainal Abidin dengan gabungan muzik yang menarik.
“Ada peningkatan dalam persembahan. Saya suka pilihan lagu, cara nyanyi dan pergerakan Brown Tone,” kritik Ajai.
Sementara Haikel turut tidak mengecewakan kumpulan yang terdiri daripada Lady Elle, Mad Loco, Zulfa dan Gecko ini lebih-lebih lagi apabila mereka berasal negara yang sama dengannya iaitu Singapura.
“Bagus. Lebih baik daripada minggu lepas. Saya suka sebab yang perempuan boleh rap dan sangat menarik. Tetapi, saya nak dengar lirik yang asli,” kata Haikel.
Shafinaz tidak ketinggalan mengatakan kumpulan ini sangat energetik, seronok dan pandai memilih lagu.

Akasia
Dalam pada itu, Kumpulan Akasia menyanyikan lagu Gemuruh dengan muzik yang berinovasi serta memasukkan elemen tradisional.
Sementara kumpulan Three Voices mendendangkan lagu medley If Tomorrow Never Comes dan Dan dengan hambar dan susunan lagu yang lembap sekali.

Three Voices
Persembahan Step dengan lagu Koo Kud kembali menggamatkan suasana dengan tarian dan nyanyian yang ‘comel’ walaupun Ajai dan Shafinaz menganggap persembahan mereka seperti sarkas.

Step
Ternyata kumpulan ini pandai memilih lagu yang biasa dan sedap didengar. Mungkin, sebab itu kumpulan ini masih bertahan walaupun pada mulanya menganggap mereka bakal tersingkir pada minggu ketiga itu.

One Nation Emcees
One Nation Emcees tampil dengan persembahan lagu Wajah Rahsia Hati pada kadar ‘biasa’ sahaja, begitu juga dengan D’ Raz yang mendendangka lagu Menghapus Jejakmu.

D’ Raz
Paragon Child dan 3.5 masih mengungguli persembahan yang bertenaga. Namun, kata juri, Paragon Child dilihat seperti terlalu yakin dengan persembahan yang dilakukan.

Paragon Child
Manakala 3.5 menunjukkan persembahan yang seolah-olah tiada pembaharuan dan sepatutnya menunjukkan lebih dari yang telah mereka lakukan sebelum ini.

3.5
South Trio selaku peserta terakhir, melakukan persembahan yang lemah dan vokal penyanyi lelaki kedengaran ’semput’.

South Trio
Ahli Fiqir diundang sebagai artis jemputan pada malam itu dengan menyanyikan lagu Dia Datang.
Malam itu juga, hos program yang disiarkan di TV3 itu, Fara Fauzana dan Faizal Tahir mengumumkan kumpulan yang memenangi pertandingan Cabaran Imej dan fotografi Gang Starz bersama majalah EH! iaitu kumpulan One Nation Emcees.

Hos Gang Starz..Fara Fauzana dan Faizal Tahir
Mereka menerima hadiah berupa sebuah kamera digital Kodak sumbangan My Camera setiap seorang dan baucer pakaian dari Padini bernilai RM200 seorang.
Dari segi persembahan, seperti biasa, markah yang diperolehi oleh peserta berdasarkan 50 peratus daripada juri dan selebihnya ditentukan oleh undian SMS penonton.
Saksikan Konsert Mingguan Gang Starz pada setiap Ahad, jam 9 malam di TV3!
This entry was posted on Tuesday, May 27th, 2008 at 12:26 am and is filed under Artis, Hiburan. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.


