Malam bersejarah Stacy
26-05-2008 12:26:21 PM
oleh WAHIDA ASRANIGADIS berusia 18 tahun ini dulu tewas ketika menyertai program pencarian bakat terbitan TV3, Gang Starz bersama beberapa rakan lain yang menubuhkan kumpulan E-Voke kira-kira setahun lalu.
Mempercayai akan bakat yang dimiliki, nampaknya percubaan Stracie Angie Anam atau Stacy secara solo di dalam program Akademi Fantasia musim keenam ini akhirnya membuahkan hasil apabila dia berjaya dinobatkan sebagai juara AF6 hasil undian seratus peratus oleh penonton-penonton.
Lakaran kejayaan yang sememangnya mengukir sejarah tersendiri di dalam diri gadis kelahiran Kota Kinabalu, Sabah ini apabila dia menewaskan empat lagi finalis lain dengan undian tertinggi sebanyak 43 peratus diikuti oleh Riz yang mendapat tempat kedua, Nubhan di tangga ketiga, Toi di tempat keempat dan Nadia yang mendapat tempat kelima.

Gaya seorang juara…
(Foto The Star oleh Shaari Chemat)
Kemenangan Stacy pada Sabtu lalu sememangnya sudah diramalkan. Malah, melihat prestasinya yang konsisten saban minggu, memang tidak salah tahta juara AF6 itu jatuh ke tangannya sekaligus melayakkan Satcy membawa pulang hadiah keseluruhan berjumlah RM733,734 termasuk sebuah banglo di A’Famosa Villa D’Lagos, Melaka, kereta model Peugeot 307 XS, wang tunai RM25,000, pakej percutian 7 hari 5 malam ke Italy, pakej pelancongan dan lawatan ke New York, Sony Playstation dan trofi AF.
Stacy yang membawakan lagu Atas Nama Cinta dendangan Rossa dan sebuah lagu baru berjudul Aku Stacy menerima pujian daripada tiga juri pada peringkat akhir program tersebut yang berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil iaitu Ogy Ahmad Daud, Ning Baizura dan Adlin Aman Ramlie.
“Saya benar-benar bersyukur dan bangga dengan kejayaan ini. Inilah pencapaian tertinggi yang pernah saya perolehi setakat ini. Terima kasih kepada semua yang tidak jemu-jemu beri sokongan kepada saya sepanjang di dalam Akademi.
“Begitu juga dengan guru-guru yang mengajar kami di Akademi. Saya tidak tahu bagaimana ingin membalas jasa mereka yang mencurahkan ilmu yang cukup berguna buat kami semua.

Barisan finalis AF6
“Sekarang ini saya ingin fikirkan bagaimana pula kehidupan saya di luar selepas ini. Apapun, saya sudah berjanji dengan diri sendiri untuk teruskan usaha dan jika berkesempatan saya akan terus sertai kelas vokal,” ujar Stacy yang ditemui pada sidang media sejurus selepas berakhirnya konsert akhir itu.
Menurut anak kelima daripada enam beradik ini, dia melihat sedikit sebanyak kejayaan yang diraih itu bukan saja sebagai satu platform untuknya cuba mula bertapak sebagai anak seni, tetapi juga dapat membantu untuk menaikkan taraf hidup keluarga di kampung.
“Ini adalah satu ‘perubahan’ mendadak buat kami sekeluarga kerana sejak dulu lagi kami tidak pernah rasa seperti ini mahupun hidup mewah.
“Saya tidak dapat menghabiskan persekolahan dan tidak sempat menduduki SPM kerana kesempitan hidup keluarga kami.
“Sebab itulah ilmu yang saya dapat ketika di Akademi cukup saya hargai kerana bukan mudah bagi saya menerima pengetahuan seperti itu,” kata Stacy.
Jelasnya lagi, kemenangannya pada malam itu bukan disebabkan ‘kelebihan’ lain yang dimilikinya apatah lagi dia pernah menyertai program pencarian bakat yang lain sebelum ini.

Persembahan mantap Stacy menerusi lagu Atas Nama Cinta berjaya memukau penonton pada malam itu
Bagi Stacy, dia menganggap pengalaman yang dikutip ketika menyertai Gang Starz dulu sebenarnya menjadikan dirinya lebih berkeyakinan terutamanya ketika bekerja secara berkumpulan.
“Semua peserta ada kelebihan tersendiri. Saya akui pengalaman di Gang Starz banyak membantu dari segi kerjasama di dalam sebuah kumpulan terutamanya yang melibatkan persembahan kami secara berkumpulan.
“Walau apapun, saya tidak pernah rasa diri saya lebih baik berbanding yang lain kerana meskipun mungkin saya sentiasa menerima pujian daripada juri, saya sering berpendapat masih ramai lagi di luar sana yang lebih hebat daripada saya.
“Lagipun, saya memang minat menyanyi sejak kecil lagi dan selepas ini saya perlu memastikan diri saya bukan saja sudah bersedia untuk menceburi bidang ini, tetapi usaha yang berterusan dari diri saya sendiri,” tutur Stacy.
‘Saya bukan peserta mulut jahat’ - Riz
Jika juara AF6, Stacy juga merupakan bakat yang dilahirkan daripada program Gang Starz, naib juara AF6, Mohammed Idris Mohd Zaizizi atau Riz juga nampaknya adalah bakat yang turut dicungkil daripada program yang sama, bersama dengan kumpulannya Equal Star.

Riz berjaya mendapat tempat kedua
Riz memenangi tempat kedua dalam AF musim terbaru ini telah membawa pulang hadiah keseluruhan berjumlah RM96,076 termasuk sebuah kereta model Naza Bestari, wang tunai RM15,000, pakej percutian tujuh hari lima malam ke Italy, baucer pelancongan tajaan Maybelline, Sony PlayStation dan trofi AF.
“Bukan senang untuk kami semua sampai ke final. Ini sudah dinamakan rezeki, tetapi perjuangan saya selepas ini sebenarnya masih panjang. Sebelum ini saya pernah juga mencuba nasib untuk AF2 dan AF5, tetapi nampaknya ketika itu nasib tidak menyebelahi saya,” kata Riz.
Ditanya tentang dirinya yang dilabelkan sebagai peserta yang ‘bermulut jahat’ di dalam Akademi seperti yang pernah disaksikan di dalam Diari AF, kata Riz, dia tidak pernah merasakan dirinya ’seteruk’ itu.
“Saya tidak pernah rasa diri saya bagus. Saya mengaku kesalahan saya, tetapi saya anggap semua itu satu gurauan saja sebenarnya. Tidak sangka ada yang mengambil serius apa yang pernah saya katakan.
“Mungkin mereka belum cukup mengenali saya ketika itu. Tetapi, setelah beberapa minggu berada di dalam Akademi, saya rasakan kami semua sudah menjadi seperti satu keluarga,” jelas Riz yang membawakan lagu 11 Januari dan lagu baru, Hanya Sandiwara pada malam tersebut.

Pememang tempat ketiga, Nubhan
Bagi pemenang tempat ketiga pula, Ahmad Nubhan Ahamad (Nubhan) pula, kemenangan yang diraihnya pada malam itu dianggap satu kejutan buat dirinya. Namun, Nubhan menolak tohmahan yang mengatakan dirinya seorang yang tidak serius ketika di dalam Akademi.
Malah, persembahannya saban minggu yang kurang memberangsangkan juga membuatkan banyak pihak turut mempersoalkan kemampuan Nubhan.
“Saya tidak rasa saya ni main-main atau sebagainya. Dari segi vokal, saya tidak nafikan saya sentiasa belajar. Cuma bukan mudah untuk mempelajari teknik-teknik tersebut dalam masa yang singkat.
“Sewaktu rehearsal, saya rasa saya boleh buat dengan baik. Tetapi tidak tahulah mengapa ketika berlangsungnya konsert, persembahan saya tidak begitu menjadi.
“Insyaallah, selepas ini saya akan mempunyai lebih masa untuk pelajari vokal dengan lebih baik lagi,” tutur Nubhan yang pernah mencuba nasib menyertai ujibakat AF5.
Persembahan pelajar pada konsert akhir diiringi persembahan muzik orkestra pimpinan Pengetua AF6, Ramli MS
Konsert akhir yang disiarkan secara langsung di Astro Ria itu meraih 879,000 undian SMS untuk kesemua lima pelajar, sementara bagi sepanjang 10 minggu konsert AF6 berlangsung, jumlah keseluruhan undian adalah 3.8 juta.
This entry was posted on Tuesday, May 27th, 2008 at 12:24 am and is filed under Artis, Hiburan. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.


