Soto ‘original’


“KALAU nak makan soto, aku tak mahu yang lain. Aku nak Soto Sungai Buloh juga,” Mazrin berdegil. Walaupun pernah merasa soto di tempat lain, katanya, Soto Sungai Buloh sukar ditandingi. Apabila ditanya kelainannya, jawab Mazrin: “Sotonya lebih original.”Original? Bagaimana dapat ditentukan keasliannya?
“Pelangganlah yang kata soto kami original, bukan kami. Bagi saya semua soto yang dijual mempunyai kelainan masing-masing. Jadi, mungkin mereka sukakan rasanya,” jelas pengusaha Soto Sungai Buloh, Zainal Suparman, 40.
Berkongsi ada antara pelanggannya yang datang sejauh dari Singapura, Zainal berkata sehingga hari ini, kunjungan pelanggan tidak pernah putus biarpun gerainya sering berpindah lokasi.
“Resipi soto ini bermula daripada arwah ayah saya, Suparman,” kata Zainal, menambah resipi yang diwarisi bapanya itu sudah berusia hampir 50 tahun.
![]() |
ZAINAL perlu sentiasa memastikan bekalan sup mencukupi. |
Ringkas saja ‘gelanggang’ perniagaannya. Membuka gerai dengan lima meja makan panjang di Pasar Minggu Sungai Buloh, sejak dibuka sehinggalah ia menghentikan operasi, senario pelanggan menunggu giliran untuk makan di sisi meja adalah pemandangan biasa di gerainya.
“Lebih sedap kalau makan waktu ia masih panas. Sebab itu kami tidak kisah kalau perlu menunggu giliran untuk makan di sini,” kata seorang wanita muda yang datang bersama suami dan anak sulungnya.
Buat pelanggan yang mahu membungkus dan menikmati soto di rumah, sebuah meja diletakkan di salah satu sudut bagi melancarkan operasi. Di situ, orang ramai berkerumun umpama semut menghurung gula.
![]() |
PELANGGAN beratur menunggu giliran seawal pukul 8 pagi. |
Ada juga sesetengah pelanggan yang menjadikan situasi itu sebagai alasan untuk mereka sama-sama merasa tarikan yang ditawarkan.
“Selama ini saya lalu dan tengok saja. Tapi setiap kali saya lalu, gerai ini tak pernah kosong. Jadi hari ini saya hendak tahu sebabnya,” ujar pelanggan baru itu yang memilih untuk membungkus Soto Sungai Buloh pertamanya.
Kata orang, kelebihan soto ini terletak pada supnya yang jernih. Ada pula yang mencadangkan ia disebabkan nasi himpitnya yang ditumbuk di dalam besen.
Sambalnya juga berbeza berbanding yang biasa ditemui. Daging ayamnya yang digoreng garing dan diricih-ricih turut mengundang pendapat yang pelbagai.
“Bagi saya ia sama seperti soto biasa. Mungkin kerana kami tidak mengisar rempah-rempahnya, sup kami lebih jernih. Kami juga tak pakai sup bunjut. Nasi himpit yang ditumbuk itu resipi yang digunakan arwah ayah,” cerita Zainal.
![]() |
|
Mewarisi perusahaan itu sepenuhnya sejak tujuh tahun lalu, peringkat awal mengambil alih tidak banyak menduganya kerana pelanggan sudah cukup mengenali Zainal yang sebelum ini banyak membantu ayah dan ibunya di gerai.
“Arwah ayah dulu berniaga dengan ayam sebelah saja. Hari ini kami perlu menyediakan 60 ekor ayam setiap kali membuka gerai, terutamanya pada hujung minggu,” kata Zainal. Dengan jumlah itu, sebanyak 12 kilogram nasi himpit mengiringi.
Menjual semangkuk soto pada harga RM3 untuk hidangan besar dan RM2 untuk hidangan kecil, persiapan untuk soto hari minggu mula disediakan pada waktu tengah hari Sabtu, dan hanya siap sepenuhnya pada pukul 1 pagi keesokannya.
Selain berniaga di Pasar Minggu Sungai Buloh, Zainal turut berniaga di depan rumah ibunya di Kampung Bukit Kucing, Jeram, Selangor.
This entry was posted on Sunday, September 14th, 2008 at 2:25 am and is filed under My Kuali. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.





