Bersila menjamu selera

Oleh ADHAM SHADAN

adham.shadan@kosmo.com.my

Dengan bunyi kicauan burung, unggas, air terjun dan jambatan yang menghubungkan pintu masuk ke dewan utama, persekitaran permai kampung cuba dijelmakan di sini.


ALI MAMAK (kiri) dan Abon menceriakan pengunjung di Dewan Besar Tun Rahah.



MENJALANI ibadah Ramadan di ibu kota, adakalanya terlintas di benak akan kerinduan kepada desa tercinta. Bukan sahaja sajian buka puasa bonda yang dikenangkan, bahkan suasana dan kedamaian kampung turut menggamit fikiran.

Jangan biarkan rindu anda terhadap suasana sedemikian terkubur begitu sahaja. Walaupun belum tiba masanya untuk pulang berhari raya di kampung, anda masih boleh merealisasikannya di Dewan Besar Tun Rahah, Menara Yayasan Tun Razak, Jalan Bukit Bintang Kuala Lumpur.

 



Di bawah pengurusan Restoran Seri Melayu, anda akan dapat merasakan suasana berbuka puasa seperti di kampung apabila Dewan Besar di Tingkat 1, Menara Yayasan Tun Razak itu ditransformasi menjadi suasana santai desa. Dengan kicauan burung, unggas, air terjun dan jambatan yang menghubungkan pintu masuk ke dalam dewan utama, persekitaran permai kampung cuba dijelmakan di sini. Dangau yang dibina di sini pasti mengingatkan kita kala menunggu durian gugur di kampung halaman.

Anda juga mempunyai berpeluang untuk makan bersila di satu seksyen yang disediakan. Memandangkan tempatnya terhad maka tempahan perlu dilakukan lebih awal. Pastinya makan secara santai sebegini mengingatkan kita kenangan makan bersila di lantai seisi keluarga. Begitu pun, jika anda mahu duduk di kerusi, satu seksyen yang lain turut disediakan.

SAJIAN masak lemak cili padi yang menambat selera.



Menyajikan 150 sajian bufet Ramadan dengan menu berubah setiap hari, Restoran Seri Melayu membawa pelbagai hidangan Melayu termasuk sajian tradisi sejati yang agak sukar untuk ditemui kala ini.

“Kami akan menyajikan sajian yang betul-betul tradisi dan susah untuk dibuat di rumah,” kata Chef Sabirin Mohd. Yusuf.

Antara sajian di Restoran Seri Melayu ialah kambing panggang Seri Melayu, ikan keli masak tempoyak, sotong goreng, asam pedas dan sebagainya. Begitu juga beberapa pilihan kerabu, ulam-ulaman dan goreng-gorengan.

Kuih muih tradisi seperti kuih ketayap atau kuih gulung, roti jala, kuih som-som dan badak berendam, boleh dinikmati. Bahkan, terdapat demonstrasi masakan kuih ketayap dan roti jala di sini.

KERABU nangka turut disajikan.



Harga bufet adalah RM55 seorang bagi dewasa dan RM35 seorang bagi kanak-kanak berusia tiga hingga 11 tahun. Kemudahan surau turut disediakan dan bayaran untuk meletak kenderaan ialah RM3 selepas pukul 7 petang.

Istimewa berbuka puasa di sini dari awal Ramadan sehingga 24 September ini juga, orang ramai akan turut disajikan dengan celoteh dan jenaka pelawak terkenal, Ali Mamak dan Abon ketika menjamu selera.

Ali Mamak berkata, butir jenaka mereka banyak berkisar mengenai pengalaman berpuasa zaman dahulu, suasana raya mula menjelma, amalan-amalan yang digalakkan dalam bulan puasa dan sebagainya. Mereka berusaha menyelitkan unsur-unsur nasihat dalam jenaka.

Ini merupakan kali pertama, Restoran Seri Melayu mengadakan bufet Ramadan di Dewan Besar Tun Rahah. Selain Dewan Besar Tun Rahah, Kumpulan Restoran Seri Melayu juga boleh didapati di Jalan Conlay, Kuala Lumpur dan restoran berputar Seri Angkasa, Menara Alor Setar, Kedah.

Maklumat lanjut dan tempahan hubungi 03-2166 6006 / 2002 atau 03-2145 1833 / 1811 atau 03-2020 5055.


 



This entry was posted on Saturday, September 20th, 2008 at 2:36 pm and is filed under Uncategorized. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.

Leave a Reply

*
To prove you're a person (not a spam script), type the security word shown in the picture.
Anti-Spam Image